Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah
suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang
berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan
Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang
sekarang dah kahwin’.
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya
mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang
berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’,
bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya
keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak
mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
Taaruf yang mendalam atau mengenali
bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi
menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan
berumahtangga.
Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.
Percintaan sebelum berkahwin seperti
yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam
media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan
keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.
Alam percintaan tidak mendedahkan
hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik
sahaja di hadapan pasangannya.
Setelah berkahwin barulah terbongkar
segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan hidup
anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar
anda mengajukan 10 soalan.
Soalan-soalan ini boleh diajukan secara
langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih
untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan
secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil.
Jangan cemari niat yang suci dengan
melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang
ketiga di antara anda dengan si dia.
10
soalan itu adalah:
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan
cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui
mengenai bakal pasangan hidup anda.
Sekiranya anda dan dia mempunyai
wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan
berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai
konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran
yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.
Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai
kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya
sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang
sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan
aman daripada perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan
tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan
mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana
kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap pihak
diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak
pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang
berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.
Sekiranya satu pihak belum bersedia
sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah,
pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah
kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau
kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.
Mengetahui adanya penyakit atau
kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.
Menyembunyikan penyakit yang kronik
atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka
bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan
pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat.
Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar
didampingi.
Orang macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli
keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang
mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan
kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.
Oleh itu bakal tunangan harus tahu
status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan
kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana
dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi
masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam
hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan
atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan
mementingkan diri.
Orang yang hidupnya sekadar untuk
memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam
dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.
Tetapi orang yang hidup dalam
perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya
akan dikenang zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu
bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga
adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk
campur walaupun ibu bapa sendiri.
Hal ini sangat penting diketahui oleh
setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.
Apakah pandangan bakal pasangan
hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam golongan di
atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu
bapanya walaupun telah berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat jawapan
yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk
melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.
*******************************************************************************************
No comments:
Post a Comment