sekadar gambar hiasan : Ustaz Azhar Idrus & wife
Jika ingin membina dunia yang lebih aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. Insya-Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumah tangga. Ribut dalam cawan rumah tangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia.
Perkara yang
pertama dan utama dalam hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga.
Tidak ada gunanya dia berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa
sahaja... sekiranya rumah tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah
awal-awal lagi mengingatkan melalui firmanNya yang bermaksu, selamatkanlah
dirimu dan keluargamu daripada api neraka!
Setiap lelaki
pasti ditanya tentang kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan
dipersoalkan di Hari Akhirat nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi,
jabatan, kabinet atau negaranya... tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang
wanita mudah masuk ke dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi
seorang lelaki sangat sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami
hanya layak ke syurga apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota
keluarganya sudah dipersoalkan.
Oleh kerana itu
tertib dalam usaha membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri,
kemudian membaiki rumah tangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumah
tangga itu ke tengah masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari
rumah Rasulullah saw? Nur wahyu dari gua Hira' terpancar ke dalam diri Rasulullah,
kemudian menyinari jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah... bermulanya cahaya
Islam ke dalam masyarakat Arab di Makkah, seterusnya merebak ke Madinah dan
akhirnya tersebar ke seluruh semesta.
Justeru,
sebelum kita mencari pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri,
perdana menteri, Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu
pengiktirafan dari dalam rumah tangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya.
Tegasnya, kita belum benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya
belum menjadi suami yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang
paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah saw ini: "Orang yang paling
baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku
adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku."
Mari sejenak
kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah.
Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling
kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana
sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya
mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang
tersurat dan tersirat.
Adakalanya
baginda pulang ke rumah lewat malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan
memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri.
Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk
mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja
kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.
Apabila baginda
bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan
apabila isterinya menjawab tidak ada... baginda akan tersenyum lalu memutuskan
pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada
rezki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.
Sejarah
menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan
menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia,
tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh
dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka
terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja
kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat
itu!
Bayangkan
baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat
tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan
sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata,
"adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang." Sikap baginda
yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat
Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua
sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.
Sikap
'gentleman' dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi
juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah
berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya dan badannya yang
besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila
isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan, ramai daripada para suami
kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?
Sekiranya
terbayang juga kebimbangan pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya,
baginda akan menjawab jika isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa
perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan para saabat begitu sedih sehinggakan tidak
sedar akan perintah Rasulullah supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu
Salamah mendengar kebimbangan baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw
dahulu yang bercukur dan menyembelih korban...
Mata baginda
bersinar atas cadangan dan pandangan isterinya lantas keluar semula lalu
bercukur dan menyembelih kambing tanpa berkata sepatah pun kepada
sahabat-sahabatnya. Baginda 'bercakap' dengan sikap seperti yang dicadangkan
oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda itu, para sahabat tersentak,
tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih binatang.
Bayangkan
betapa besarnya jiwa baginda tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para
isterinya. Jika benar dan betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan
ego. Tetapi jika batil dan salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur
walaupun selangkah.
Pernah baginda
dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta
Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan.
Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda... cuma ditinggalkan sedikit
yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan
kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk
suaminya tersayang.
Apabila tiba
waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah
diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian
kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat
mengingatkan isterinya dengan kenyataan yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa
semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki
itu!
Di rumah
baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila
azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah
tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya
baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang
sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti
peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala
perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir
dari hati.
Banyak kali
baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan
bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:"
bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan
bercanda dengan isterimu." Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak
berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya
apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh
kasih, kasihan dan sayang.
Baginda adalah
suami yang 'sporting'. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar
masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang
menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak
melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita
tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, "hai Abu
Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya."
Baginda minum
daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya
pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat
akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan
menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut.
Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu
sehingga saat akhir menuju kewafatannya.
Apabila baginda
berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk
solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan
mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya
dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma
disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.
Jika kita ingin
menjadi suami... contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan
Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal
hidup bersama tetapi 'cinta bersama' buat selama-lamanya.
Masyhurlah
kemudiannya kata-kata "marriage is loving-together, not just living
together" namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu
dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu. Teladanilah
seorang suami bernama Muhammad s.a.w.
Artikel ditulis
oleh Tuan Pahrol Mohamad Juoi. beliau adalah Pengarah dan Penyelidikan Modul
merangkap Pengurus besar Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding dan
latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi-agensi kerajaan,
badan-badan korporat dan syarikat-syarikat swasta. Pengalamannya menjelajah
negara-negara ASEAN, Uzbekistan, Pakistan, Turki, Jepun, China, Jordan dan
Mesir menambah kematangannya dalam bidang penulisan dan latihan.
No comments:
Post a Comment