Apa – apa pun perkara yang
menimpa diri kita, insyaallah akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap
positif. Ketika ini, terasa betapa kehidupan adalah sangat berat. Kenaikan
harga barang, bencana tanah runtuh, persengkataan politik, dan memuncaknya
jenayah telah menjadi warna dominan didalam media cetak mahupun elektronik.
Jika ditakdirkan musibah atau ujian itu menimpa diri kita, apa yang harus kita
lakukan untuk menghadapinya? Bersediakah kita?
Saya ingin berkongsi dengan
sahabat – sahabat semua tips untuk menghadapi ujian. Sebenarnya, paling tidak,
ada tujuh tips untuk menghadapi pelbagai ujian kehidupan, iaitu :
·
Pertama, yakinlah bahawa ujian itu merupakan ekspresi cinta Allah pada
hamba-Nya. Allah Swt memberikan cubaan agar kita menjadi lebih dewasa dan
matang dalam mengharungi kehidupan. Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa
Rasulullah bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang
yang baik maka dia akan diberi-Nya cubaan.” (H.R.Bukhari)
·
Kedua, yakinlah bahawa semakin besar dan banyak cubaan yang Allah
turunkan kepada kita, makin besar pula pahala dan sayang Allah yang akan
dilimpahkan kepada kita. Dengan syarat, kita dapat menyelesaikan setiap ujian itu
secara baik. Anas r.a. berkata: Nabi saw. bersabda, “Sesungguhnya
besarnya pahala itu tergantung pada besarnya cubaan. Sesungguhnya apabila Allah
Ta’ala itu mencintai suatu kaum maka Dia mengujinya. Barang siapa yang rela
menerimanya, dia mendapat keredhaan Allah, dan barang siapa yang murka, maka
dia pun mendapat kemurkaan Allah” (H.R.Tirmidzi)
·
Ketiga, yakinlah bahawa ujian itu akan menghapuskan dosa-dosa yang
pernah kita kerjakan. Abu Said dan Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi
saw. bersabda: “Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan,
kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri
sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya (H.R.
Bukhari dan Muslim)
·
Keempat, selalulah untuk berfikir positif bahawa apa – apa pun yang
menimpa diri kita akan menjadi kebaikan. Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a.
berkata, bahawa Rasulullah saw. bersabda: “Sungguh menakjubkan sikap
seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi
kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur,
maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar,
maka itu lebih baik baginya.”(H.R.Muslim)
·
Kelima, yakinlah bahawa setelah kita ditimpa kesulitan, maka akan ada
kemudahan. Fakta menunjukkan bahawa idea – idea yang hebat sering muncul ketika
kita berada di puncak kesulitan. Contohnya, banyak mahasiswa dapat mengarang
jawapan walaupun pada saat menghadapi soalan peperiksaan yang sukar. ( Saya
sering mengalaminya ketika peperiksaan akhir semester). Kerana
sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Q.S. Alam Nasyrah 94: 5- 6)
·
Keenam, selalu optimistik bahawa kita boleh menyelesaikan setiap ujian
yang Allah berikan, kerana Allah tidak akan memberikan ujian di luar kemampuan
hamba-Nya. Optimis dapat melahirkan tenaga yang tersembunyi dalam diri kita,
kerana itu optimis boleh menjadi bahan bakar untuk menyelesaikan segala
persoalan. Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan hambanya
itu. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia
mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” (Q.S. Al-Baqarah 2 : 286)
·
Ketujuh, menghadapi ujian dengan usaha dan doa. Kerah segala ikhtiar
untuk menyelesaikan ujian dan follow-up usaha itu dengan doa. Maka
apabila kamu telah selesai (dari suatu urusan), maka kerjakanlah dengan
sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu
berharap” (Q.S. Alam Nasyarh 94 : 7 – 8). Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku
kabulkan doamu.” (Q.S. Al-Mu’min 40: 60)
Itulah tujuh tips untuk
menghadapi pelbagai ujian. Apa – apa pun perkara yang menimpa diri kita,
Insyaallah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif,
optimistik, ikhtiar yang maksimum dan diikuti dengan doa. Sesungguhnya
pertolongan Allah akan turun kalau kita berada dipuncak ujian. Untuk itu,
jadikanlah ujian sebagai tangga untuk meraih pertolongan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment