Dalam satu program wanita, seorang ibu berumur
lewat usia 40-an berbual mesra sambil bertanya kepada saya: "Diam tak
diam, saya dah nak dapat menantu lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan
depan, kita ni terlalu sibuk dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak
perasan anak dah semakin besar dan akan berumah tangga."
Saya membalas : "Kita perlu mengingat dan
membekalkan nasihat yang pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman
dan berilmu kepada mereka.
"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula
hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia
menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai
kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu."
Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan
kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.
Mari hayati pesanan isteri 'Auf bin Muhlim
Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja
negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan
kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:
"Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk
kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia
sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana
berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling
berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki
diciptakan untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan
meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah
membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan
teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia
juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Peliharalah sepuluh sifat ini
terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik
untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa
puas serta taat dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat
pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya
memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang
harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur
dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang
terganggu dapat menimbulkan rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan
memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah
harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah
pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang
perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu
tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka
rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di
hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia
bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan
sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat
dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa
yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu,
dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu
sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu."
Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa
asas penting:
·
Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi
taat kepada perintah Allah.
·
Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat
beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.
·
Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada 'dua
bahagian muka syiling'. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita
yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin
Allah.
Saya sering mengingatkan diri sendiri sebagai isteri
dari muda hingga sekarang dan masih sangat mempercayai bahawa:
"Kita hanya boleh
mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang
di sekeliling juga akan berubah secara positif."
sumber : | Dr. Hafidzah Mustakim |
No comments:
Post a Comment