Bukan mudah menjadi suami kerana
tanggungjawab yang digalas oleh suami adalah sangat besar terutama dalam bab
tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.
Bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada isu lelaki
dayus yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w tidak akan masuk syurga.
Nabi s.a.w bersabda:
ثلاثة لا
ينظر الله عز
وجل إليهم يوم
القيامة: العاق
لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه
أحمد والنسائي
Ertinya: Tiga golongan yang Allah tidak
akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari
kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan
si lelaki dayus. (H.R. Ahmad dan An-Nasaie; Albani mengesahkannya Sahih :
Ghayatul Maram, no. 278)
Dalam sebuah hadith lain pula:
ثلاثةٌ قد
حَرّمَ اللهُ – تَبَارَكَ وَتَعَالَى – عليهم
الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر
، والعاقّ ،
والدّيّوثُ الذي
يُقِرُّ في
أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد
والنسائي .
Ertinya: Tiga yang telah Allah haramkan
baginya syurga: Orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si
dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya. (H.R. Ahmad)
Malah banyak lagi hadith-hadith yang
membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan
siapakah lelaki dayus?
Erti Dayus
Dayus telah disebutkan dalam beberapa
riwayat athar dan hadith yang lain iaitu:
1. Sabda Nabi s.a.w:
وعن عمار
بن ياسر عن
رسول الله قال
ثلاثة لا يدخلون
الجنة أبدا الديوث
والرجلة من
النساء والمدمن الخمر
قالوا يا رسول
الله أما المدمن
الخمر فقد عرفناه
فما الديوث قال
الذي لا يبالي
من دخل على
أهله
Ertinya: Dari Ammar bin Yasir berkata,
ia mendengar dari Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga yang tidak memasuki syurga
sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang
yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham
erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? Bersabda Nabi s.a.w:
Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya
(isteri dan anak-anaknya). (H.R. At-Thabrani; Majma az-Zawaid, 4/327 dan
rawinya adalah thiqat)
Dari hadith di atas, kita dapat
memahami bahawa maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung
tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama,
bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya
dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.
2. Pernah juga diriwayatkan dalam
hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab
Nabi:-
قالوا يا
رسول الله وما
الديوث قال من
يقر السوء في
أهله
Ertinya: Apakah dayus itu wahai
Rasulullah? Jawab Nabi: Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan
(zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan
keluarganya)
Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika kita melihat tafsiran oleh para
ulama berkenaan istilah dayus, ia adalah seperti berikut:
هو الذي
لا يغار على
أهله
Ertinya: Seseorang yang tidak ada
perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya)
(An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Imam Al-‘Aini pula berkata: Cemburu
lawannya dayus. (Umdatul Qari, 18/228)
Berkata pula An-Nuhas:
قال النحاس
هو أن يحمي
الرجل زوجته وغيرها
من قرابته ويمنع
أن يدخل عليهن
أو يراهن غير
ذي محرم
Ertinya: Cemburu (iaitu lawan kepada
dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari
ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram. (Tuhfatul Ahwazi,
9/357)
Disebut dalam kitab Faidhul Qadir:
فكأن الديوث
ذلل حتى رأى
المنكر بأهله فلا
يغيره
Ertinya: Seolah-olah takrif dayus itu
membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat
kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya.
(Faidhul Qadir, 3/327)
Imam Az-Zahabi pula berkata:
فمن كان
يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته
فيها فهو دون
من يعرس عليها
ولا خير فيمن
لا غيرة فيه
Ertinya: Dayus adalah sesiapa yang
menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji
(seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya kepada isterinya, maka
tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh
Islam) dalam dirinya. (Al-Kabair, 1/62)
Imam Ibn Qayyim pula berkata:
قال ابن
القيم وذكر الديوث
في هذا وما
قبله يدل على
أن أصل الدين
الغيرة من لا
غيرة له لا
دين له فالغيرة تحمي القلب
فتحمى له الجوارح فترفع السوء
والفواحش وعدمها
يميت القلب فتموت
الجوارح فلا
يبقى عندها دفع
البتة
Ertinya: Sesungguhnya asal dalam agama
adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan (terhadap ahli
keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada
agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga
anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan
mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga
menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama
sekali.
Dayus Adalah Dosa Besar
Ulama’ Islam juga bersetuju untuk
mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu
athar:
لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)
Ertinya: Allah telah melaknat lelaki
dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan
suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha,
5/320)
Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang
terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya
sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini. Petikan ini pula menunjukkan
lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir
dengannya :
والقواد عند
العامة السمسار في
الزنى
Ertinya: Al-Qawwad (salah satu istilah
yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina.
(Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186)
Imam Az-Zahabi menerangkan lagi
berkenaan perihal dayus dengan katanya:
الديوث وهو
الذي يعلم بالفاحشة في أهله
ويسكت ولا يغار
وورد أيضا أن
من وضع يده
على امرأة لا
تحل له بشهوة
Ertinya: Dayus, iaitu lelaki yang
mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada
rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa
yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan
syahwat. (Al-kabair, 1/45)
Cemburu Dituntut Islam & Jangan
Marah
Ada isteri yang menyalahkan suami
kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal
suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri
janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga
merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya
kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak
mempunyai kepercayaan’ kepada isteri.
Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa
ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami
yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain itu, bergembiralah sang suami
yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan
dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang
campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat,
maruah dan dirinya.
Nabi s.a.w bersabda:
من سعادة
ابن آدم المرأة
الصالحة
Ertinya: Dari tanda kebahagian anak
Adam adalah memperolehi wanita solehah (isteri dan anak). (H.R. Ahmad, no.
1445, 1/168)
Memang amat beruntung, malangnya tidak
mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya
mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari
pelbagai golongan muda menyebut tentang keterlanjuran mereka secara ‘ringan’
dan ‘berat’, mereka ingin mengetahui cara bertaubat.
‘Ringan-ringan’ Sebelum Kahwin
Jika seorang bapa mengetahui
‘ringan-ringan’ anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin ditegaskan, seorang
wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau ‘terlanjur’ sebelum kahwin di
ketika bercinta, tanpa taubat yang sangat serius, rumahtangga mereka pasti
goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumahtangga, si suami atau isteri ini
akan terjebak juga dengan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain pula.
Hanya dengan taubat nasuha dapat
menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumahtangga mereka.
Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih
‘ringan-ringan’ dan ‘terlanjur’ ini akan terus merebak kepada zuriat mereka.
Awas!!
Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu
bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.
Suami juga patut sekali sekala menyemak handphone isteri, beg isteri dan
lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang
ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat
akhirnya akan tertangkap jua.
Pasti akan ada wanita yang kata,
“Habis, kami ini tak payah check suami kami ke ustaz?” Jawabnya, perlu juga,
cuma topic sekarang ni sedang menceritakan tanggungjawab suami. Maka perlulah
fokus kepada tugas suami dulu.
Cemburu seorang suami dan ayah adalah
wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.
Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa
di zaman Nabi:
قَالَ سَعْدُ
بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ
رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ،
فَبَلَغَ ذَلِكَ
رَسُولَ اللّهِ
صلى الله عليه
على آله وسلم
فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟
فَوَ الله لأَنَا
أَغْيَرُ مِنْهُ
، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ،
مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ
الْفَوَاحِشَ مَا
ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا
بَطَن.
Ertinya: Berkata Ubadah bin Somit r.a:
Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku
pukulnya dengan pedangku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad
tadi, lalu Nabi s.a.w bersabda :
Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk
agama) yang dipunyai oleh Sa’ad? Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil
endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku,
kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang
ternyata dan tersembunyi. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Lihat betapa Allah dan RasulNya
inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga
dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.
Bila Lelaki menjadi Dayus?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa
ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:
1. Membiarkan kecantikan aurat, bentuk
tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika
bekerja) atau di luar rumah.
2. Membiarkan isterinya balik lewat
dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa
yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
3. Membiarkan aurat isterinya dan anak
perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa
jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4. Membiarkan anak perempuannya
ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5. Membiarkan anak perempuan
berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘sporting’ yang
memahami.
6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga
dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
7. Membiarkan anak perempuannya
memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya
sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8. Membiarkan isterinya atau anaknya
menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan
lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?
Tidak sama sekali.
9. Membiarkan isteri kerja dan keluar
rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10. Membiarkan isteri disentuh anggota
tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti
menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11. Membiarkan isterinya bersalin
dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada
pilihan.
12. Membawa isteri dan anak perempuan
untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai
doktor wanita.
13. Membiarkan isteri pergi kerja
menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14. Membiarkan isteri kerap berdua-duan
dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.
Terlalu banyak lagi jika ingin coretkan
di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang
dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun
jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit
‘dayus’ kepada dirinya.
Mungkin kita akan berkata dalam hati:
“Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku.”
Lebih penting adalah kita melihat,
adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi. Awas wahai
lelaki beriman, jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa
anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori dayus yang tiada ruang
untuk ke syurga Allah s.w.t. Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu
dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah,
pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya.
Nabi s.a.w bersabda:
من قتل
دون أهله فهو
شهيد
Ertinya: Barangsiapa yang mati dibunuh
kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid. (H.R.
Ahmad; sahih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Oleh: USTAZ ZAHARUDDIN
PAUTAN : http://syahirul.com/
**************************************************************************************
PS : berat hati saya, meniti bait - bait ini, berat lagi hati, serta bahu yang menggalas tugas sebagai lelaki. Moga Allah terus bersama dalam meniti langkah ini, menjadikan diri seorang lelaki yang soleh , mengikuti jejak langkah Sayyiduna Rasulillah shaLAllah hi alihi wasallam. Amin dalam membina keluarga yang sakinah lagi diRedhai Allah hu subhanahuwataala.
No comments:
Post a Comment