Mewujudkan sebuah perkahwinan merupakan satu
langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah.
Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah
dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti
petunjuk mereka. Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan
ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan
umatnya untuk berkahwin.
Ini tidaklah sebagaimana yang berlaku kepada
sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban dan pertapaan
para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malah
sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat
yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi
tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan
percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat
mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti
perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di
era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak
berlaku di negara-negara barat pula.
Dengan izin dari Allah s.w.t, tulisan ini cuba
mengupas sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini
bakal difokuskan kepada aspek perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut
sebagai walimatul urus. Melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir
ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya dimeriahkan dengan pelbagai
adat-adat dan upacara-upacara tertentu yang meragukan serta mengarahkan kepada
timbulnya beberapa persoalan di sudut agama. Ia sekaligus memerlukan serta menuntut
sebuah penilaian dan pencerahan ke atasnya dilakukan berpandukan kefahaman
agama yang tepat. Lebih menyedihkan, adat-adat dan pelbagai upacara tersebut
telah mula sebati dan popular di kalangan masyarakat umat Islam hari ini
sedangkan ianya masih sangat memerlukan penilaian ilmiyah dari Al-Quran,
As-Sunnah dan manhaj ahlus sunnah wal-jamaah akan keharusannya.
Apa yang dimaksudkan ini termasuklah pelbagai
bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa seakan-akan patung, upacara
persandingan, aneka muzik, acara tari-menari dan nyanyi-nyanyian, upacara
potong kek, adat menyarung cincin, upacara bergambar dan menggantung gambar,
dan seumpamanya. Bentuk-bentuk upacara seperti ini selain memerlukan belanja
yang besar, adakah ia termasuk ke dalam tuntutan agama atau sebaliknya, atau
mungkin pula bertentangan dengan agama Islam itu sendiri?
Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu
sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwinan yang benar-benar dianjurkan oleh
syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih?
Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti
upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar
(fotografi)? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini
benar-benar menepati kehendak syariat dan merupakan suatu yang dibenarkan atau
sebaliknya? Sekaligus, adakah tanpa semua upacara tersebut, majlis walimah
menjadi hambar dan tidak absah?
Atas sebab itulah, maka tulisan ini pun disusun.
Dengan izin Allah tulisan ini cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk-bentuk
majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci
lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah kebanyakan majlis perkahwinan yang
difahami oleh masyarakat kita hari ini yang sebenarnya telah banyak ditokok
tambah dengan pelbagai bentuk amalan yang mungkar lagi bercanggah dengan
syariat. Lebih parah, ia turut memberi kesukaran kepada kebanyakan pasangan
yang ingin membina mahligai rumahtangga masing-masing kerana diikat dengan adat
dan upacara tersebut.
Dengan memahami yang mana satu adalah sunnah dan
mana satu merupakan tokok tambah (bukan dari anjuran agama), dengan izin Allah
ia bakal membantu kita semua membezakan di antara keduanya berdasarkan ilmu. Seterusnya
kita akan berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan kita, anak-anak kita,
dan keluarga baru kita sebagai sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan
dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang
tidak disyari’atkan (serta yang terlarang).
Definisi
Walimatul urus
Kata walimah (الوليمة)
diambil dari kata asal walmun (الولم) yang bererti
perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul
sebagaimana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan selainnya. Bentuk kata
kerjanya adalah awlama (أولم) yang bermakna
setiap makanan yang dihidangkan untuk menggambarkan kegembiraan (ketika
pernikahan). Dan walimatul urus (ووليمة
العرس)
adalah sebagai tanda pengumuman (majlis) untuk pernikahan yang menghalalkan
hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin
Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3/153-154)
Menurut Imam Ibnu Qudamah dan Syaikh Abu Malik
Kamal as-Sayyid Salim, “Al-Walimah merujuk kepada istilah untuk makanan yang
biasa disajikan (dihidangkan) pada upacara (majlis) perkahwinan secara khusus.”
(Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486 – Maktabah Syamilah. Abu Malik Kamal as-Sayyid
Salim, Shahih Fiqhus Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-Arba’ah, 3/182 –
Maktabah at-Tauqifiyyah, Cairo)
Manakala sebahagian ulama dari kalangan mazhab
Ahmad dan selainnya menyatakan, “Bahawasanya walimah merujuk kepada segala
bentuk makanan yang dihidangkan bagi meraikan kegembiraan yang berlangsung.”
(Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486)
Dari penjelasan definisi ini dapat kita fahami
bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang
diadakan bagi meraikan pernikahan pasangan pengantin.
Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan
oleh Anas r.a, di mana beliau berkata, “Ketika tiba waktu pagi hari setelah
Nabi s.a.w menjadi seorang pengantin dengannya (Zainab bin Jahsy), beliau
mengundang masyarakat, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka
pun bersurai.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: al-Walimah,
16/152, no. 4768)
Juga perkataan Nabi s.a.w kepada ‘Abdurrahman bin
‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah, “Laksanakanlah
walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadith Riwayat al-Bukhari,
Kitab an-Nikah, Bab: Adakan Walimah Walau Dengan Seekor Kambing, 16/154, no.
4769)
Perkataan Anas r.a di mana beliau menyatakan,
“Ketika Rasulullah s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku supaya
mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari,
Kitab an-Nikah, 16/157, no. 4772)
Hukum
Mengadakan Walimatul Urus
Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan: “Imam
Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu
disunnahkan. Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang
mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”.
Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i
rahimahullah. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2,
Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)
Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai
wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam
Subulus Salam, asy-Syafi’i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani
di dalam Adabuz Zifaf.
Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana
yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah: “Tiada perbezaan pendapat di
antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah
sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni,
jil 7, m/s. 2)
Siapa
Yang Mengadakan Walimah
Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh
suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi s.a.w sendiri dan turut dicontohi
oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.
Dari Anas r.a, beliau berkata: “Ketika Rasulullah
s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang
beberapa orang untuk makan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)
Juga dari Anas r.a, beliau menjelaskan:
‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah
dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau
pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no.
5169)
Berdasarkan hadith ini, Rasulullah telah
memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah. Walaupun begitu,
walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan
bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi s.a.w sendiri pernah
melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa
biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang
hadir. (Rujuk Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2048)
Waktu
Walimah
Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i
menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah
kedua pasangan bersama.
Ibnu as-Subki berkata: “Yang diriwayatkan dari
perbuatan Nabi s.a.w bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan
(pasangan bersama), berdasarkan hadith pernikahan di antara Nabi dengan Zainab
binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadith di
atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang
kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab
Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2,
Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)
Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah
tidak diadakan ketika perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah,
tetapi adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh). (Rujuk: Abu Malik Kamal
as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka
Ibnu Katsir)
Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru
Abdul Mun’im Salim: “Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia
berkumpul dengan isterinya.” (Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah
Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba’)
Hukum
Menghadiri Undangan Walimah
Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib.
Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.a, beliau
berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu diundang
ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari,
no. 5173)
Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri
undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i,
Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi
kesepakatan para ulama.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan
maksiat kepada Allah dan RasulNya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5177)
Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh
ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan
berikut:
1. Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi
perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk
bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka
seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah
kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu
kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.
Ini adalah sebagaimana hadith ‘Ali r.a, beliau
berkata: “Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah s.a.w, kemudian
beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai
Rasulullah, ibu dan bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau
pulang?”
Baginda menjawab: “Sesungguhnya di dalam rumah ada
kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki
ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.” (Hadith
Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih
Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf)
Juga hadith dari ‘Umar al-Khaththab r.a,
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka
janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).”
(Hadith Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s.
152, Media Hidayah)
2. Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana
orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin
atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini
adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani di mana diizinkan
untuk tidak memenuhi undangan walimah “apabila adanya uzur di antaranya,
apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas
kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada
orang yang tidak senang dengannya…” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani,
Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729, Darus Sunnah)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah
tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang
orang yang tidak memerlukan (orang kaya).” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5177)
Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak
hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh
meninggalkan solat Juma’at, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan
yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain
yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil.
2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir)
Digalakkan
Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)
Ini adalah sebagaimana hadith berikut: “Janganlah
kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu
dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Hadith Riwayat Abu Daud,
no. 4811. Hadith ini hasan menurut penilaian al-Albani)
Daripada Anas r.a, Rasulullah s.a.w berdoa kepada
Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya: “Semoga orang-orang yang
baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang puasa
berbuka di tempatmu.” (Hadith Riwayat Ahmad. Lihat: al-Albani, Adabuz Zifaf,
m/s. 157, Media Hidayah)
Dan jangan sekali-kali hanya mengundang
orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah
tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang
orang yang tidak memerlukan (orang kaya)…” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no.
5177)
Bolehkah
Orang Yang Berpuasa Menghadiri Walimah?
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan
tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak
berpuasa, hendaklah dia makan.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 1431)
Menurut Imam ash-Shan’ani, hadith ini menunjukkan
wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin
Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)
Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban
untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak.
Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja
tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.
Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan
jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib
diganti.
Dari Jabir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika
salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika
mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.”
(Hadith Riwayat Muslim, no. 1430)
Anjuran
Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin
Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah
mendoakan kebaikan, keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan
pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan
(walimah). Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa
dengannya adalah sebagaimana berikut:
Doa
untuk pasangan pengantin:
Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah
s.a.w jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan
berkata:
بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan
keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadith
Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadith ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan
ath-Thusi sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)
Rasulullah s.a.w berkata kepada ‘Abdurrahman bin
‘Auf:
بَارَكَ اللهُ لَكَ
“Semoga Allah memberkahimu…” (Hadith Riwayat
al-Bukhari, no. 5169)
Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan
Fatimah:
اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا
“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah
perkahwinan mereka berdua.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir.
Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)
Doa untuk orang yang mengundang makan:
Rasulullah s.a.w mendoakan untuk Abdullah bin Busr
r.a dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu makanan:
اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ
“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang
telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah
mereka.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 1615)
Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk
mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan. Dari Abu Hurairah
r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak
berterima kasih kepada manusia.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4811)
Mengucapkan
Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan
Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan
(doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang
disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya.
Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk
ucapan seperti:
“Selamat
pengantin baru.”
“Semoga
bahagia dan mendapat ramai anak.”
Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini
telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi. Di antaranya al-Hafiz Ibnu
Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan: “Perkataan ini biasa diucapkan
oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari, jil.
9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka
Ibnu Katsir)
Ini adalah kerana, Rasulullah s.a.w sendiri telah
melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu
Thalib. Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku
Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan: “Semoga bahagia dan
mendapat ramai anak.”
‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan
seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya).” Mereka pun bertanya, “Jadi,
apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?” ‘Uqail berkata, “Ucapkanlah:
Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah
kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad.
Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)
Disunnahkan
Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah
Dari Anas r.a, beliau berkata: Setelah Nabi s.a.w
menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki
sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan
lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju,
ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun
membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak). (Hadith
Riwayat al-Bukhari, no. 2048)
Berdasarkan hadith ini, Syaikh al-Albani
rahimahullah menyatakan: “Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan
(bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah
saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)
Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul
urus) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w dan diamalkan oleh para
sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.
*****************************************************
Sekarang kita akan difokuskan kepada beberapa
contoh amalan di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka
pasa masa kini. Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus, sunnah, atau
sebaliknya yang membawa kepada larangan syari’at mahu pun bid’ah.
Kemungkaran
dan Tokok Tambah (Bid’ah) Di Dalam Majlis Walimah
Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini
adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.
Allah s.w.t berfirman: “Wahai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang
mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh
mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana
kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun
dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu)
selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah
Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 21)
“Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah
(manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang
mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang
demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31:
17)
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka
terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah
al-Hasyr, 59: 7)
Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di
sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang
pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah
(majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui
Nabi kita Muhammad s.a.w. Di mana di dalam sebuah hadith disebutkan:
“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah
(al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w, seburuk-buruk
perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang
diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”
(Hadith Riwayat Abu Daud, no. 1097)
Begitu juga di dalam beberapa hadith yang lain,
kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam
agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap
bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
Dengan lebih tepat, “Bid’ah adalah sebuah cara
baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syariat dengan tujuan untuk
berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam
asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah
‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga
Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)
Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak
dikhususkan atau tidak disyariatkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar
di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk
ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan
mengajak kepada perbuatan bid’ah. Sekiranya kita menganggap dan berkeyakinan
bahawa sesebuah ritual atau sesuuatu amalan yang pada asalnya tidak
disyariatkan ke dalam sesebuah majlis walimah, dan sekiranya amalan tersebut
tidak diadakan di dalam majlis walimah tersebut, kita mengatakan bahawa walimah
tersebut tidak lagi lengkap, tidak lagi sempurna, kelihatan janggal, atau tidak
berseri atau seumpamanya, maka sebenarnya kita telah menuju kepada perbuatan
bid’ah. Iaitu menuju kepada perbuatan yang sebenarnya tidak pernah ditetapkan
oleh syari’at, tetapi kita telah memandai-mandai sendiri menetapkannya. Ini
adalah kerana, walimah adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh Allah
melalui NabiNya s.a.w. Apatah lagi sekiranya, perkara yang ditambah itu adalah
merupakan perbuatan-perbuatan yang mungkar dan membawa kepada larangan yang
berat di sisi Allah.
Perbahasan
di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.
1.
Membuka Aurat
Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai
(para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam
majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam
kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis
perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi
apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan
menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan
aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk
tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain
yang tipis.
Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Katakanlah
kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan
kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang
(biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke
dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada (mahram
mereka).” (Surah an-Nuur, 24: 31)
2.
Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita
Dari Abu Musa al-Asy’ary r.a, dia berkata:
Rasulullah s.a.w bersabda: “Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia
melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut
adalah wanita penzina.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no.
2786)
Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan
jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah
mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik
(melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.
(Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal,
Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)
Allah s.w.t berfirman: “…Dan janganlah kamu
berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang
dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)
3.
Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu
Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah melaknat orang yang
membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya
(dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta
dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah
ciptaan Allah.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 4886)
4.
Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna
Rasulullah s.a.w bersabda: “Termasuk fitrah bagi
manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong
kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5889)
Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini,
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata: “Ini adalah merupakan kebiasaan buruk
yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu
memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan
kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh
sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga
menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru
(tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.
Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa
yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia
termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut
Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam
Jilbab al-Mar’atil Muslimah)
5.
Mencukur Janggut
Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak
lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada
pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya
di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah
sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, dan di dalam banyak
hadith-hadithnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu
diikuti.
Daripada Ibnu ‘Umar r.a, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5893)
6.
Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan
Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya
cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan
berasal daripada ajaran Islam. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh
Syaikh al-Albani rahimahullah: “Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru
tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi
pelanggaran terhadap dalil-dalil hadith yang melarang lelaki mengenakan cincin
emas.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)
Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan
ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini
adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya,
Adabuz Zifaf.
Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia)
menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam
syariat.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap
Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)
7.
Adat Bersanding dan Pelamin
Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding
bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru
dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan
tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.
Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin
hafizahullah: “Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini
adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang
suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya
merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan
perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja
menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan
Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Di
antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari
mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin
bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan
isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin
menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan
selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min
Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah,
m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)
8.
Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga
Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syariat atau
pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pun
sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang
diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara
perkahwinan mereka.
Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa
yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia
termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut
Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab
al-Mar’atil Muslimah)
Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran
Surah al-Baqarah, [2:104]: “Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman
menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan
mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul
Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman
al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)
Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada
agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya
di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul
urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan)
berdasarkan sunnah yang jelas.
Dari ‘Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka
ianya tertolak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2697)
Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam
agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap
bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
9.
Adat Merenjis Air Mawar
Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia
diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok
tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada
perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan
i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin
yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.
10.
Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran
Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat
Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon
suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran
kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10,000
atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan
wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama
ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini
adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan
diserahkan kepada keluarga si isteri.
Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling
bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan
dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang
barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki
berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki
berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.
Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak
pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah
iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah
menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan
(juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini,
ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia
sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya
semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.
Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam
agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap
bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di
dalam syariat hanyalah memberikan mahar (mas kahwin) oleh lelaki kepada wanita
yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau
pun tanpa diminta. Dan mas kahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang
ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa
yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh
si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah
satu rukun dan syarat sahnya nikah.
Allah
s.w.t berfirman:
“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang
kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan…” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)
“… Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati
(campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan
sempurna), sebagai suatu kewajiban…” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)
Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang
paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si
suami). Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Pernikahan
yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadith
Riwayat Ahmad, no. 24595)
Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan
nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana
disebutkan di dalam beberapa hadith. Umar al-Khaththab r.a berkata: “Ingatlah,
janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia
atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah
Rasulullah s.a.w.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul
Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)
Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah
dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil.
Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin
besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan Al-Qur’an, dengan
mengajarkan surah-surah tertentu dari Al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan
mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.
11.
Bersalaman Dengan Bukan Mahram
Di dalam sebuah hadith dijelaskan bahawa:
“Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada
menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadith
ash-Shahihah, no: 225)
Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan
bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal
baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah. Berkenaan perkara ini juga, telah
jelas di dalam Al-Qur’an bahawa Allah s.w.t memerintahkan supaya kaum lelaki
dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina
mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan
perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.
12.
Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran
Nabi s.a.w bersabda: “Akan muncul dari umatku
beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan
alat-alat muzik…” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5590)
Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud r.a
menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang
tidak berguna. Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan
nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim,
bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath
ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.
13.
Permainan Kuda Kepang
Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang
bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan
seperti di di Johor dan Selangor.
Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang
dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh
membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan
berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan,
selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.
Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:
“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan
meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima
berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin
mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia
terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta
ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah
ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)
Allah s.w.t berfirman: “Dan bahawasanya ada
beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa
laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan
kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)
Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya
juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik
terlarang.
14.
Bomoh Tolak Hujan
Terdapat beberapa kelompok dari kalangan
masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh
tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu,
khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib)
sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini
dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah
(tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.
Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Dan pada sisi
Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali
Dia sendiri…” (Surah al-An’am, 6: 59)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang
mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan,
maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh
adz-Dzahabi)
Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam
Kitab aqidahnya: “Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal
(bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi
al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah
ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah,
m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)
Berkenaan turunnya hujan, banyak hadith-hadith
Rasulullah s.a.w menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya
hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w:
“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan
binatang).” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1032)
Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana
berikut: “Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadith
Riwayat al-Bukhari, no. 1038)
Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut
hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita
bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.
Dari Anas r.a, beliau menjelaskan doa tersebut
sebagaimana berikut:
اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar
kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke
dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang
menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1013)
Allah s.w.t berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku
bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat.
Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka
hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2:
186)
Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan
bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki
kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada
kita melalui sabdanya: “Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu
membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8.
Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)
15.
Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar
Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku
bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas,
pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku
adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi
tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda,
“Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu
menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk
menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang
(mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu
masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat
gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa
dari makhluk bernyawa”.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 2110)
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat
Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar
memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam
rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah
gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Secara
ringkasnya:
•Dilarang
melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti
manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk
bernyawa.
•Dibolehkan
melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan,
air terjun, bangunan dan kenderaan.
•Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk
perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan
passport.
•Tidak
dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan sebagaimana yang
difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.
16.
Upacara Memotong Kek Perkahwinan
Perbuatan ini juga bukan berasal dari syariat
Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah
ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya
kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.
18.
Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian
Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana
di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk
membazir dan berlebih-lebihan.
Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam
masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di
ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti
memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti
dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut
berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian
seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai
tidak mengenal atau tidak menghormati adat.
Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah
termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan
agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak,
imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang
memberat-beratkan umatnya.
Allah
s.w.t berfirman:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah
menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk
perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah
sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu
ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)
“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)
Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara
mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan
(dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan
majlis-majlis perkahwinan mereka. Ada beberapa lagi amalan/perkara yang
sebenarnya dapat kita kategorikan sebagai perbuatan yang mungkar, bid’ah dan
melanggar syari’at Islam yang kebiasaannya berlaku (dilakukan) ke dalam
walimatul urus cuma tidak disentuh di sini seperti adat menepung tawar, dan
perlakuan ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram). Dengan
itu, hendaklah kita berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan
sentiasa berusaha dengan sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun
perkara-perkara mungkar seperti disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun,
ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyariatkan dan
dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w. Dan sesungguhnya agama ini telah
pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak
citarasa serta nafsu manusia.
Allah s.w.t berfirman: “Pada hari ini telah Aku
sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan
telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)
Dan suatu yang paling penting di dalam beragama
ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang
perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di
atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah
s.w.t dan petunjuk Rasulullah s.a.w.
Allah
s.w.t berfirman:
“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an)
sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah
kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan
jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka
akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti
persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
(Surah al-An’am, 6: 115-116)
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu
(benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan
mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali
Imran, 3: 31)
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu
contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)
Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah
al-Ahzaab, 33: 21)
Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah
sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui KitabNya dan RasulNya.
Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaanNya dan hindarilah dari
kemurkaan-Nya. Wallahu a’lam…
Penulis:
Fiqh & Sunnah
No comments:
Post a Comment