Biasalah, musim-musim
cuti sekolah ni... majlis walimah mana-mana pun ada. Semua berlumba-lumba nak
buat majlis nikah-kahwin. Majlis tunang-tunang pun tak ketinggalan, ada yang
buat jugak. Semua perancangan disusun rapi.
Sampai masanya, sapa
yang tak nak kahwin kan...
Pantun yang disusun
turut dialun, saling berbalas wakil kedua belah pihak. Dulang pula berbalas
dulang, sirih pinang pun turut bertukar tangan. Tiba masanya, hantaran juga
turut diatur dan dirunding.
Mahar dan hantaran
tidak boleh disamakan. Mahar lain hal, hantaran pula lain pakage. Biasanya,
hantaran dikeluarkan dan disediakan oleh si lelaki yang berhajat mengahwini
wanita. Hantaran diatur dan ditetapkan dari pihak pengantin wanita.
Hantaran ni macam
harga dagangan lah pulak. Kalau si perempuan tu cantik, berpelajaran tinggi,
kaya, maka... mahal lah hantarannya. Ini lumrah kebiasaannya lah bagi
masyarakat “Melayu”. Antara hantaran yang biasa diguna-pakai adalah set
pengantin siap serba satu, ini termasuklahlah bilik pengantin, set tilam pengantin,
set hand phone, baju, kain, naskhah al-Qur’an, dan pelbagai lagi boleh saja
dijadikan barang hantaran.
Malah, ada tu kereta
besar dan rumah besar pun boleh menjadi syarat sah-nya hantaran. Kalau tak
disiapkan dengan keperluan yang diaturkan, maka bertangguhlah hajat si
pengantin. Silap-silap boleh tak jadi perkahwinan tu. Maklumlah, mahal tu...
Mana mahu korek kawan...
Em, yang paling biasa
dijadikan hantaran, adalah duit lah. Money... money... kalau kita lihat
majlis-majlis kahwin artis-artis tu, fuuhh! Ribu-ribu, berbelas-belas ribu,
atau mungkin berpuluh-puluh ribu si lelaki mesti bayar kepada wanita atau
keluarga si wanita tu. Malah bukan berpuluh ribu, ratus ribu pun ada.
Tapi, yang cukup
sedihnya... banyak jugak yang fail. Membazir je kahwin mahal-mahal ni. Ia
bukanlah syarat jaminan kebahagian sesuatu rumah tangga. Kalau ikut Islam,
bukan itu tujuan perkahwinan. Bukan untuk berjual beli dan tawar-menawar. Bukan
juga untuk menunjuk-nunjuk sapa grand. Silap-silap tertunjuk lah pulak sapa lingkup
dulu. Tak ke sedih macam tu. Adalah lebih baik duit tu buat belanja keperluan
yang betul. Belanja harian keluarga yang baru dibina dengan penuh hikmah. Itu
lebih menjamin kebahagian sebenarnya.
Malah, dalam
sibuk-sibuk bertukar-tukar hantaran dan mengumpul-ngumpul duit hantaran ni.
Tahu tak kita, bahawa bab-bab hantaran ni karut marut sebenarnya. Entah datang
dari mana agaknya. Kalau ikut Islam, yang ada Cuma mahar je. Bukan hantaran.
Lepas tu, hantaran mengalahkan mahar lagi tu.
Zaman sekarang agaknya
zaman berdagang anak perempuan. Sapa-sapa nak menikahkan anak perempuan, masa
tu lah masa kegembiraan. Kerana anak perempuan bakal membawa pulangan lumayan.
Mungkinkah begitu yang difikirkan? Fikirlah sendiri...
Baiklah, sapa yang nak
mengada-ngada ikut yang bukan cara Islam tu, tak dapat nak buat apa lah. Yang
diketahui, dalam Islam yang ada cuma mahar je. Telah dijelaskan mahar yang
dipersetujui, akad nikah berjalan lancar, pasangan suka sama suka, wali pun dah
setuju, semuanya ditanggung beres.
“Permudahkan, jangan
dipersulitkan”
Kalau ikut zaman
Rasulullah dulu, punyalah senang nak kahwin. Yang penting agama mesti mahu
baik. Perempuan solehah boleh tunggu je... insyaALLAH, ada lah yang akan
merisiknya dari kalangan laki-laki yang soleh. Perempuan nak risik lelaki pun
tiada masalah, bila kena syaratnya. Malah, maharnya murah dan mudah sahaja. Ini
adalah bertepatan sebagaimana pesanan Rasulullah shallallhu ‘alaihi wa sallam
sendiri,
“Di antara kebaikan
wanita adalah memudahkan maharnya dan memudahkan rahimnya.” (Hadis Riwayat
Ahmad, no. 23957. Dihasankan oleh Sheikh al-Albani di dalam Shahiih al-Jami’,
2/251)
“Sebaik-baik
pernikahan adalah yang paling mudah” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab an-Nikah,
no. 2117. Disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam al-Irwaa’, 5/345)
Atas saranan dan
pantauan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, pada masanya, pernikahan
berjalan dengan mudah dan tidak disulitkan dengan kepelbagaian adat dan metod
yang bukan-bukan. Seperti hantaran beribu-ribu, akad nikah mesti bersalam
dengan bergoncang tangan, sesi fotografi yang memakan ratusan ringgit, aurat
disingkapkan di depan khalayak awam, pelamin pulak mesti disiapkan, majlis
persandingan mesti dilangsungkan, menepung tawar mesti direnjiskan, dan
pelbagai lagi tambahan-tambahan yang karut marut yang langsung tidak tsabit
(sahih) dari agama Islam yang tulen.
Sedangkan Nabi pernah
menikahkan para sahabat-sahabatnya hanya dengan mahar sebiji emas, hafalan surah
al-Qur’an tertentu, baju besi, cincin besi, beberapa dirham mata wang, beberapa
genggam kurma, dan seumpamanya. Mengapakah kita tidak puas dengan apa yang
dicadangkan dan dipermudahkan oleh Rasulullah untuk syi’ar pernikahan dan
perkahwinan kita zaman ini? Carilah berkah dan petunjuk dari apa yang
dicontohkan oleh Rasulullah.
“Sesungguhnya telah
ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi
mereka yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia
banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Jadi siapakah yang
kita jadikan ikutan sekarang? Hawa nafsu? Adat? Atau siapa?
Jawablah sendiri...
Syari’at yang gemilang
lagi sesuai sepanjang zaman ini adalah bertujuan memelihara hak-hak wanita.
Mahar adalah apa yang diberikan kepada isteri berupa harta, atau selainnya menurut
persetujuan dengan sebab pernikahan atau dinikahi.
Mahar wajib
dikeluarkan oleh seorang lelaki yang ingin menikahi seorang wanita,
Rasulullah shallallahu
‘alaihi wa sallam bersabda,
“Dosa yang paling
besar di sisi Allah ialah orang yang menikahi wanita lalu ketika telah
menyelesaikan hajatnya darinya, maka dia menceraikannya dan pergi dengan
membawa maharnya...” (Hadis Riwayat al-Hakim, 2/182. Dihasankan oleh Sheikh
al-Albani di dalam as-Silsilah ash-Shahihah, no. 999)
Allah Subhanahu wa
Ta’ala berfirman,
“Berikanlah maskahwin
(mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh
kerelaan.” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)
“Maka berilah mereka
maharnya (dengan sempurna) sebagai suatu kewajiban.” (Surah an-Nisaa’, 4: 24))
“Kerana itu,
kahwinilah mereka dengan keizinan tuan mereka dan berilah maskahwin mereka
dengan patut.” (Surah an-Nisaa’, 4: 25)
Mahar adalah pemberian
yang dilindungi yang diwajibkan Allah untuk diberikan kepada wanita; bukan
sebagai imbalan sesuatu yang wajib dia berikan, kecuali memenuhi hak-hak suami
isteri, sebagaimana halnya dia tidak dapat digugurkan (walaupun wanita itu
rela) kecuali setelah akad. (Audatul Hijaab, 2/298)
Maka,
“Permudahkanlah, jangan
dipersulitkan, jangan dipersusah-susahkan...” dengan hal yang bukan-bukan dan
yang pelik-pelik yang tiada contoh dan saranannya dari Rasul ikutan kita jika
benar kita mencintai dan mengharapkan keredhaan Allah yang sebenar.
Menurut Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Adakanlah walimah, walau pun hanya dengan
seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Nikah, no. 5155)
Wallahu a’lam.
Kepada sahabat-sahabat
yang berminat untuk mengetahui Persoalan Nikah, perkahwinan, dan majlis walimah
yang berorientasikan Islam dan bertepatan dengan sunnah-sunnah Rasulullah, saya
cadangkan anda membaca tiga-tiga buah buku ini:
1 – Panduan Menikah
Ala Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, Tulisan Sheikh Amru Abdul Mun’im
Salim, Terbitan Pustakan an-Naba’. (Tajuk setelah cetakan baru: “Panduan
Menikah Menuju Keluarga Sakinah”)
2 – Panduan Menikah
Dari A hingga Z, Tulisan Abu Hafsh Usamah bin Kamal ‘Abdir Razaq, Terbitan
Pustaka Ibnu Katsir.
3 – Adab az-Zifaf
(Panduan Nikah), Tulisan Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terbitan Media
Hidayah.
C & P : http://an-nawawi.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment