Suami penyabar bukan sahaja menaikkan
nilai wibawanya di hati isteri bahkan di pandangan Allah swt jua
|
·RASULULLAH MENCONTOHKAN SIFAT SABAR TERHADAP KARENAH
ISTERI
Di dalam buku Purnama Madinah karya Ibn Saad,
Bandung , Mizan 1997, muka surat 173, ada tercatat sebuah hadis yang berbunyi,
Umar pernah berkata, “Ya Rasul, mahukah engkau mendengar aduan saya? Kami kaum
Quraisy biasa menguasai isteri kami.
Kemudian kami pindah ke sebuah masyarakat (Madinah) di
mana lelaki tunduk diam pada isteri mereka. Kemudian kaum perempuan kami meniru
perilaku perempuan Ansar ini.
Suatu hari saya menegur isteri saya dan dia menjawab
balas. Saya tidak menyukai perilaku seperti itu. Dan dia berkata, ‘Apakah kanda
tidak menyukai dinda menjawab? Demi Allah, para isteri Rasullullah menjawab
balas baginda. Sebahagian mereka mendiamkan baginda sepanjang hari sampai
malam.’ Saya (Umar) lalu berkata, ‘Dia rugi. Apakah dia merasa aman dari
kemurkaan Allah kerana kemarahan Rasulnya sehingga dia mendapat hukuman?’” Nabi
tersenyum dan tidak menjawab aduan daripada Sayidina Umar itu. (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW tidak mengiyakan ataupun menidakkan
perkataan Umar. Isteri juga mempunyai suara dan pendapat yang harus didengari
suami. (Cuma perbincangannya haruslah dengan hikmah). Al-Hafizh Ibnu Hajar
berkata, “Dari hadis tersebut dapat diambil pelajaran bahawa terlalu keras
terhadap isteri bukanlah sikap yang terpuji. Sebab, Rasulullah SAW sendiri
meniru sikap orang Ansar dalam
memperlakukan wanita mereka dan meninggalkan sikap kaum baginda sendiri.”
·UMAR MENCONTOHI KESABARAN RASULULLAH TERHADAP LETERAN
ISTERI
Seorang lelaki datang ke rumah Umar bagi mengadu perihal
isterinya yang suka berleter. Tatkala sampai, dia mendengar Umar sedang
dileteri isterinya. Umar tidak menjawab sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil
berkata,
“Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirul Mukminin
yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana pula dengan aku?”
Selepas itu Umar keluar dari rumahnya lalu terlihat
lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.
Lelaki itu berkata,
“Wahai Amirulmukminin,tujuan kedatanganku adalah
untuk mengadu berkenaan perangai buruk isteriku yang suka berleter. Tadi aku
baru sahaja mendengar isterimu juga begitu. Lalu aku berkata kepada diriku,
kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana
dengan aku?”
Umarpun berkata kepadanya,
“Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bersabar mendengar
leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makanan
untukku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal
semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada
melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan
kerenahnya.
Lelaki itu menjawab,
“Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku.”
Umar berkata,
“Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya
kerenahnya tidak lama. Hanya seketika sahaja.”
Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan,
“Janganlah seseorang yang beriman (lelaki) membenci
seorang (isterinya yang) beriman (perempuan), kerana walaupun ada satu
perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya
yang dia suka.”(Riwayat Muslim dan Ahmad).
************************************************************************************
No comments:
Post a Comment