YA ALLAH,
Engkau mengetahui hati-hati ini,
Telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Hati-hati ini telah mengikat janji
setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,
Maka eratkanlah Ya Allah akan
ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan
ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan
ikatannya,
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati
ini,
Akan jalan-Nya yang sebenar,
Penuhkanlah hati ini dengan cahaya
Rabbani-Mu,
Yang tidak kunjung malap,
Lapangkanlah hati-hati ini
dengan limpahan Iman dan keyakinan,
Dan keindahan tawakkal kepada-Mu,
Hidup suburkanlah hati-hati ini
dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu,
Jika Engkau mentakdirkan mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati
ini,
Sebagai para syuhada dalam
perjuangan agama-Mu,
Engkaulah sebaik-baik
sandaran dan sebaik-baik penolong,
YA ALLAH,
Perkenankanlah permintaan ini."
Doa rabitah hati. Siapa yang tidak
tahu? Malah ramai yang sudah menghafalnya. Setiap hari dilafazkan bersama-sama.
Jika yang tinggal di asrama, akan baca beramai-ramai selepas solat berjemaah.
Kadang-kadang dibaca setiap kali
mengakhiri sesuatu majlis ilmu. Doa yang sepatutnya mengikat hati-hati
kita. Doa yang sepatutnya mengajar kita erti ukhwah. Doa yang sepatutnya
membuahkan rasa rindu pada kita pada perjuangan di jalan Allah S.W.T.
Namun, tidak ramai yang sedar betapa
besarnya erti doa ni. Malah kesannya juga seolah-olah tiada. Mengapa?
Mungkin tidak Faham maksud?
Mustahil. Kerana ramai juga yang sudah lama berada di dunia tarbiyah, sudah
bedah maksud doa ini. Namun kesannya tetap negatif. Di mana salahnya?
Mungkin pada dosa-dosa lama, atau
karat-karat jahiliah yang masih malas hendak dibuang itu menghalang hati-hati
kita dari keindahan kesan doa ini?
Atau hati kita sendiri tidak pernah
hadir setiap kali membaca doa ini?
Mulut melafazkannya namun hati,
fikiran pada urusan dunia yang tidak akan pernah habis?
Mungkin juga dalam tidak sedar, kita
sebenarnya adalah robot yang membuat kitaran bodoh?
Kerana sudah menjadi kebiasan
membaca doa ini, tetapi tidak pernah mengambil masa mendalami maksudnya?
Ya Allah.
Bukan tidak pernah melihat orang
yang hari-hari duduk sama-sama membaca doa rabitah hati, namun apabila habis
tidak pernah bertegur sapa. Ada juga orang yang hari-hari duduk sama-sama
membaca doa ini, tetapi perasaan benci, hasad dan iri hati tetap ada dalam hati
masing-masing. Apabila duduk dalam majlis ilmu, boleh duduk berlaga lutut,
tetapi di luar majlis ilmu, saling berselisih bahu, menjeling seperti singa
lapar.
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi
medium untuk kita merapatkan ukhwah?
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi
medium untuk kita buang segala perasaan tidak baik itu?
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi
semangat bagi para daie setiap kali melafazkannya?
Bukankah doa ini sepatutnya menjadi
peringatan buat kita bahawa kita sama-sama pernah berjanji untuk memperjuangkan
agama Allah S.W.T?
Namun, mengapa apabila di luar,
tatkala saudara-saudara kita semakin menjauh dari jalan Allah S.W.T, kita buat
tidak kisah?
'Kubur lain-lain', kata kita. Mana janji-janji yang dilafazkan untuk sama-sama
berjuang?
Mana hilang rasa keterikatan hati
kita?
Mana pergi rasa kasih dan cinta 'ukhwah
fillah' yang kita lafazkan selama ini?
Bukankah jika benar doa rabitah hati
yang kita baca itu berkesan, hati-hati kita akan saling terikat?
Apabila jauh rasa rindu untuk
sama-sama duduk berlaga lutut mendengar kisah Allah S.W.T.
Apabila dekat terasa seolah-olah
tidak mahu berpisah, seronok sama-sama berzikir.
Apaila terpesong sama-sama
mengingatkan agar kembali ke jalan Allah S.W.T.
Adakah perasaan itu sudah ada dalam
hati kita wahai hamba yang saling berjanji setia?
Jika doa itu berkesan pada kita,
Allah S.W.T yang akan menyatukan hati kita. Allah S.W.T sudah berjanji bukan?
"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati
mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang
ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati
mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka.
Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (surah Al-Anfal: ayat
63)
Dakwah ini tidak mudah, seperti kata
'saff-one' dalam lagunya Perjuangan.
Perjuangan itu gerun dan mengerikan,
Hebat dan dasyat menggerukkan hati,
Bagi mukmin di sini harga dan
nilainya,
Perjuangan itu bagai sampan di laut,
Di atas lapang tiada perlindungan,
Di bawa air melambung dan
menggunung,
Menongkah gelombang yang datang
melanda,
Kiri kanan depan dan belakang,
Angin yang menderu tidak tahu bila
datang,
Hujan badai yang datang menyerang,
Bak singa yang lapar yang garang,
Kadang-kadang terdampar di batu
karang
Penumpang menerima nasib berlainan,
Ada yang jatuh ada yang tenggelam,
Yang pandai berenang berpaut ke
sampan,
Ada yang berjaya berenang ke tepian,
Sekali lagi dia melayar sampan,
Walau pelayaran mungkin tidak
berjaya,
Namun harapnya hanya pada yang Esa.
Kerana itu pentingnya hati-hati kita
ini saling terikat. Agar sama-sama hebat berjuang di jalan Allah S.W.T.
Allah S.W.T menyukai orang-orang
yang berjuang di jalannya dalam satu barisan yang tersusun, kerana Allah S.W.T
tahu payahnya perjuangan ini, Allah S.W.T tidak suruh kita berjuang seorang
diri.
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah
mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (surah As-Saf: ayat 4)
Sangat indah jika kita sama-sama
dapat rasa keterikatan hati yang Allah berikah pada muslim yang sejati itu
bukan?
Kata Imam Nawawi:
"Aku mencintaimu kerana agama
yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah kecintaanku
padamu."
kata aku,
"Aku mencintaimu kerana agama
yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, akan ku bimbing kembali
dirimu supaya kita dapat bersama-sama rasa indahnya Syurga."
DAKWAH ITU CINTA DAN CINTA AKAN
MEMINTA SEMUANYA DARIMU.
No comments:
Post a Comment