Pages

Tuesday, 13 December 2011

MELANGKAH KE ERA BARU DAKWAH AL JENDERAMI 1433 HIJRAH





Melangkah ke Era baru Dakwah Al-Jenderami 1433 Hijrah


1 Muharram 1433 Hijrah (Maghrib 26 nov 2011 Masehi)
Bertepatan dengan kehadiran Awal Muharram 1433 Hijrah, Al-Jenderami telah mengorak langkah untuk menyusun kembali strategi usaha dakwahnya.
Seperti kata-kata pembukaan Al-Fadhil Sheikh Haji Muhd Hafidz b. Hj Selamat iaitu Mudir Madrasah Al-Jenderami yang juga pengasas serta penasihat Yayasan Al-Jenderami. Mengimbau kembali kira-kira 25 tahun penubuhan Madrasah Islamiyah Jenderam Hilir (MIJH) yang merupakan ‘roh’ perjuangan Al-Jenderami berteraskan ‘Al-Ilmu wal Ulama’ manakala Yayasan Al-Jenderami pula merupakan ‘pancaindera’ serta ‘kaki dan tangan’  yang mengerakkan dan mengembang usaha-usaha dakwah.
MIJH dibina di atas perjalanan Ilmu yang berdasarkan Kitab-kitab thuras atau ‘Kitab Kuning’ seperti Jauharatul Tauhid (Ilmu Tauhid), Math’ul Badrain (Fekah) dan  Minhajul Abidin (Tasawuf) serta kitab-kitab yang lain. Ilmu dituntut secara berguru dan bersalasilah dari Guru-guru ‘Tua’ yang penuh keberkatan seperti Tuan Guru Haji Mat Zin bin Tuan Tama, Tuan Guru Haji Hasyim bin Tuan Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Bunyamin, Tuan Guru Haji Nordin Jenderam serta guru-guru Al-Jenderami yang lainnya;  yang bukan hanya mengajar ilmu tetapi mengamalkannya secara Istiqomah (berterusan dan konsisten), apabila kita  memerhati contoh tingkah laku mereka  sahaja, kita sudah boleh mendapat ilmu dan pengajaran, mereka adalah guru masyarakat yang meratai segenap lapisan masyarakat. Penuh dengan tawaduk dan berhikmah dalam pergaulan.
Kita juga dirahmati dengan tilikan dan tarbiyah dari para Habaib (iaitu Alim-Ulama keturunan Sayidina Rasulullah s.a.w) seperti Al-Marhum Al-Habib Muhsin b. Umar Al-Attas, Al-Marhum Al-Habib Anis b. Alwi Al-Habsyi yang istiqomah dengan mendirikan Majlis MauliduRasul s.a.w..akhlak beliau sangat tinggi. Begitu juga dengan Al-Habib Abu Bakar b. Hasan Al-Attas yang mengijazahkan amalan Ratib Al-Attas & Al-Haddad, Al-Habib Hasan b. Muhammad b. Salim Al-Attas (Imam Besar Masjid Ba’Alawi) yang menjadi ‘penyuluh’ kegiatan dakwah Al-Jenderami.
Pengerusi Yayasan Al-Jenderami iaitu Datuk Haji Alias b. Ali dalam menerangkan hala-tuju Yayasan Al-Jenderami menerangkan Fasa Pertama usaha dakwah Al-Jenderami bertunjang kepimpinan Al-Fadhil Sheikh Haji Muhd Hafidz melalui pengajian berkitab, penubuhan pondok lelaki dan madrasah lil banat, aktiviti kebajikan seperti menubuh serta menguruskan kompleks warga emas dan anak yatim, membantu para dhuafa’ (iaitu orang yang memerlukan pertolongan nisbah ilmu dan harta serta keperluan seharian) bantuan untuk madrasah serta pondok dari dalam dan luar negara seperti negeri-negeri selatan Thailand iaitu Narathiwat, Fathani, Yala dan di Indonesia seperti Brongkal, Acheh dan lain-lainnya. Pembinaan madrasah di Kampuchea seperti di Kampung Champ, Cheroi Chong Hua dan tempat-tempat lain .
Kembara Ziarah Sufi : mulai tahun 1990an menziarahi para Ulama, Habaib  dan tempat-tempat bersejarah di sekitar Fathani, Singapura, di Tanah Jawa seperti kompleks  Wali Songo, Sumatera, Kalimantan Selatan: menziarahi Kiyai Haji Ahmad Zaini Abdul Ghani yang istiqomah menganjurkan Majlis Maulid Nabi s.a.w .
Sekitar tahun 1999-2000 ke timur tengah seperti negara Mesir, Syria, Jordan, Baitul Maqdis dan Iraq iaitu Kota Baghdad yang di sana terletaknya Kompleks Sultanul Aulia’ As-Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang hasil dari ziarah ini telah mencetus dan memberi ilham kepada Al-Fadhil Sheikh Haji Muhd Hafidz untuk membesarkan bangunan madrasah dan  kompleks Al-Jenderami berdasarkan model kompleks Waliyullah tersebut.
Dalam melangkah Fasa ke 2 Dakwah Al-Jenderami : Maka Model Kompleks Al-Jenderami ini sedang dan  akan dikembangkan ke  lain-lain negeri seperti di Sungai Ling, Maran-Pahang, Kuala Pilah-Negeri Sembilan, Pontian-Johor, Melaka dan beberapa tempat lagi.
Sudah tentu ‘usaha besar’ ini memerlukan ramai tenaga kerja sukarelawan, pencinta agama...
Majlis pada malam itu melabuhkan tirainya dengan ucapan penuh semangat oleh ‘Sesepuh Al-Jenderami’, yang tidak lain dan tidak bukan iaitu Tuan Haji Abu Bakar b. Abdul Aziz yang merupakan antara ‘murid’ Al-Fadhil Sheikh yang sangat luas pengalamannya, tinggi ketaatannya, kehadapan dan istiqomah beramal membuat usaha-usaha kebajikan dan sentiasa menjadi contoh bagi golongan muda. Tuan Haji Abu Bakar melahirkan kebimbangan apabila di zaman kini begitu banyak kehidupan kita ‘dicuri’ oleh hiburan, kelalaian, ‘dunia yang menghanyutkan’ serta ancaman dalam diam dan terang ke atas ‘Ahli Sunnah wal Jamaah’ di Tanah Air Melayu ini...
Jangan kita lupa pesanan Almarhum Al-Habib Naqib b. Toha Al-Sagaf yang Al-Jenderami mesti mengekalkan peranan utama sebagai “Benteng Ahli Sunnah wal Jamaah”.
Dengan Keberkatan memasuki tahun 1433 Hijrah ini, kita harus mempertajamkan kesungguhan, ‘menyingsing lengan’ turut serta turun padang secara berterusan dan konsisten...kerana setiap dari kita telah dikurniakan dengan segala macam nikmat dari segi pemikiran, tenaga, harta, dana, kemahiran  yang mungkin selama  ini hanya digunakan semata-mata untuk menimba ‘Dunia yang Fana’ yang belum tentu menjamin keselamatan kita di akhirat sana...
Semestinya kelebihan ini harus kita gembelingkan bersama untuk kepentingan Umat, supaya kita kembali nanti menghadap kehadrat Allah swt dengan ‘Qalbin Salim’ iaitu ‘Hati yang Sejahtera’.....di negeri yang Kekal dan Abadi.
Zaman menjadi ‘peminat dan pemerhati setia sahaja ’ sudah berakhir, ayuh... teruskan azam, tekad dan usaha semata-mata demi untuk Allah swt dan kekasihnya Sayidina Rasulillah s.a.w...Wallahulam
Makluman kepada ahli pengajian Al-Jenderami sama ada Muslimin atau Muslimat:
Untuk turut serta khidmat agama sila hubungi pejabat Yayasan Al-Jenderami di talian 03-8768 0200.

pautan ihsan : http://www.aljenderami.com.my/aljenderami/


******************************************************

p/s : Alhamdulillah, dapat bersama para alim ulama ketika tanggal 1 muharram 1433 hijrah. Sambutan hijrah yang sangat berbeza pada sebelumnya. keberkahan di rasai kedamaian dihati. 

No comments:

Post a Comment