Bagaimana si dia menawarkan cinta kepada anda?
Persoalan Lazim Remaja
“Bagaimana kita hendak tahu si dia terbaik untuk kita
ataupun tidak?”
“Selepas istikharah memang ia akan nampak dalam
mimpi?”
“Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya sebab dia
nampak saya dalam mimpi selepas buat istikharah. Jadi, perlukah saya
terima dia sedangkan saya tidak yakin pun kepadanya?”
“Saya takutlah hendak membuat istikharah. Takut
nampak apa yang saya tidak berkenan.”
Apa Itu Istikharah?
Istikharah ialah suatu doa
dalam membuat sesuatu pilihan sama ada dilakukan dengan cara berdoa sahaja
ataupun sebaik-baiknya solat sunnah terlebih dahulu kemudian diikuti dengan
doa. Ia dilakukan bukan dalam urusan memilih jodoh semata-mata, bahkan dalam apa
jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan.
Contohnya, mahu membeli kereta VIVA ataupun Myvi? Mahu
balik kampung ataupun mengikuti program keusahawanan semasa cuti semester? Mahu
mengikuti jurusan Undang-undang Sivil ataupun Undang-undang Syariah?
Bagaimana membuat pilihan?
Buatlah pilihan dengan istikharah dan berbincang.
Berdoa kepada Khaliq dan berbincang dengan makhluk.
Ikut garis panduan al-Quran dan al-Sunnah.
Namun, tiada istikharah dalam menolak perintah
Allah ataupun melakukan larangan-Nya. Contohnya, mahu memakai tudung ataupun
tidak? Mahu memakai jeans ataupun baju kurung? Mahu pergi dating ataupun
study?
Istikharah Menghapus Unsur-unsur Ramalan
Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat Arab
jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, mantera dan
meramal masa depan. Pelbagai kreativiti direka-reka bagi menilik nasib seperti
meramal dengan bintang, meramal dengan sial burung dan mengundi dengan undian
belahan-belahan kayu. Mereka meramal bagi mengetahui bilakah waktu yang sesuai
memulakan perniagaan atau meramal kalah menang dalam peperangan dan sebagainya.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai orang yang
beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi
nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu
hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah:
90).
Sebagai pengganti kepada unsur-unsur ramalan seperti itu,
Allah SWT mensyariatkan istikharah yang mengandungi benih tauhid dan
kebahagiaan di dalamnya. Tidak akan menyesal orang yang memilih istikharah
sebelum memutuskan urusannya.
Doa Istikharah
Maksudnya:
“Ya Allah, aku memohon petunjuk
daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan
kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar.
Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha
Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui
segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya
urusan ini (pernikahanku dengannya) adalah baik bagiku, pada agamaku,
kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, takdirkanlah
ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya
Engkau mengetahui bahawa urusan ini (pernikahanku dengannya) mendatangkan
keburukan bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada
cepat ataupun lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan
untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya.”
Galakan Istikharah
Galakan istikharah sangat tinggi dalam Islam, hingga ada
ulama yang menganggapnya wajib. Namun, ulama salafussoleh (generasi awal
yang dekat dengan zaman Nabi) bersepakat yang istikharah itu sunnah
bukan wajib.
Kata Jabir bin Abdullah, “Rasulullah
SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar
kami satu surah daripada al-Quran, sabdanya, 'Apabila seseorang kamu mempunyai
rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunnah dua
rakaat, kemudian bacalah doa ini….'” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
Imam al-Syawkani berkata dalam Naylul Awtar bahawa
istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat
khilaf padanya.
Rasulullah SAW berkata: “Salah satu sumber kebahagiaan anak Adam adalah beristikharah
kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada
keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan
membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
Petunjuk Istikharah Melalui Mimpi?
Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk
mimpi. Ia boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam
Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. Selepas beristikharah
dan berbincang, kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke
arahnya, itupun suatu petunjuk. Jadi mengapa perlu takut untuk istikharah?
Sekiranya seseorang itu mengalami mimpi yang menenangkan
hatinya selepas istikharah, ia hanyalah bonus daripada Allah untuknya.
Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi.
Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan
mimpinya sendiri bagi memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain
tidak boleh menjadi hujah untuk kita.
Hatta sekiranya kita sendiri yang bermimpikan seseorang
selepas istikharah, kita perlu memastikan terlebih dahulu mimpi itu
tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati, dan
membiasakan diri dengan banyak perkara yang melalaikan. Imam Ibnu Hajar
al-Asqolani menekankan supaya jangan cenderung kepada satu antara dua atau
lebih pilihannya sebelum membuat istikharah. (Fath al-Bari, 11/223).
Jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah
yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk al-Quran dan al-Sunnah .
Apakah pandangan
Islam berkenaan mimpi (ru’yah)?
Realiti tiga
golongan.
1.
Ada orang yang bergantung sepenuhnya kepada mimpi. Ia
terdedah kepada sangkaan, mainan syaitan dan mainan perasaan.
2.
Ada golongan yang menolak sepenuhnya mimpi. Ia menafikan
sesuatu yang wujud, thabit (tetap) serta tidak patut diingkari secara
umumnya.
3.
Ada golongan yang menganggap mimpi sebagai bonus sokongan
daripada Allah dengan apa yang sudah diyakini berdasarkan petunjuk
al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat ini lebih adil dan sederhana.
Merujuk Risalah Taalim oleh al-Imam Hassan al-Banna yang dihuraikan oleh
Muhammad Abdullah al-Khatib dan diadaptasi oleh penulis, ada beberapa
penjelasan berkenaan kedudukan mimpi dalam Islam. Antaranya adalah:
·Mimpi insan biasa bukanlah hujah bagi hukum syarak.
(Misalnya seseorang yang bermimpi, hubungannya dengan Allah sudah mantap maka
dia hanya perlu solat dengan menggunakan niat, maka mimpinya dikira batil dan
tidak menjatuhkan hukum syarak apapun ke atasnya).
·Mimpi seseorang tidak diambil kira sekiranya
bertentangan dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. (Misalnya wanita
mengandung bermimpi makan khinzir hingga menyebabkan dia sangat
mengidamkannya. Mimpi itu tidak boleh dijadikan hujah untuknya melanggar hukum
agama yang telah tetap.)
·Mimpi seseorang yang tidak bertentangan dengan nas,
boleh diambil kira untuk dirinya sendiri, bukan hujah untuk orang lain.
(Misalnya, seseorang bermimpi berkahwin dengan seseorang, manakala agama dan
akhlak orang itu memang bagus, maka dia boleh berusaha ke arah menjadikan
mimpinya suatu realiti. Namun, dia tidak boleh memaksa orang itu menerimanya
semata-mata berhujahkan mimpinya sendiri.)
·Mimpi banyak berbaur dengan sangkaan, bercampur-aduk
dengan waham (prasangka), justeru kita tidak bergantung sepenuhnya
kepadanya. Sekadar berwaspada. (Misalnya kita bermimpi berkahwin dengan
seseorang, sedangkan kita belum mengetahui berkenaan agama dan akhlaknya, maka
tidak perlu terburu-buru percaya kepada mimpi itu. Mimpi itu mungkin boleh
menjadi sekadar ilham untuk kita merisik agama dan ahklaknya dengan teliti).
·Faedah kewujudan mimpi adalah sokongan tambahan pada
perkara yang sudah tetap (thabit) daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ia
dianggap sokongan tambahan kepada perkara yang telah thabit dan dianggap
sebagai cahaya di atas cahaya.
·Mimpi bukan semuanya daripada syaitan dan mainan
perasaan semasa tidur. Ada juga mimpi yang benar daripada Allah SWT. Sabda
Rasulullah SAW, “Mimpi ada tiga jenis: Mimpi yang datang daripada Allah, mimpi
yang berpunca dari dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan.” (Riwayat
Muslim). Ibnu Taimiyah berkata di dalam al-Fatawa, hendaklah seseorang
tahu membezakannya. (Misalnya seseorang yang leka dalam maksiat, tidak mahu
bertaubat, tiba-tiba ingin beristikharah dalam urusan jodoh, sudah tentu
besar kemungkinan mimpi malamnya akan sering dipengaruhi oleh wajah gadis yang
didambakan. Sebaik-baiknya, dia bertaubat dan menjauhkan diri daripada dekat
dengan jalan-jalan zina terlebih dahulu seperti asyik call, sms dan dating).
·Sekalipun ulama tidak mengingkari wujudnya mimpi yang
benar, namun mereka mensyaratkan, perlunya nilaian daripada al-Quran dan
al-Sunnah terhadap setiap apa yang dimimpikan. Hanya kedua sumber itu yang maksum
(terpelihara daripada kesilapan).
·Berkata Ibnu Taimiyah, “Ahli kasyaf dan ahli ilham ada
kalanya benar dan ada kalanya silap. Justeru mereka perlu berpegang teguh
dengan tali Allah dan sunnah Rasulullah SAW.” (Al-Fatawa).
Wujudkan Sokongan
Mimpi dalam Urusan Jodoh?
Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita supaya beristikharah
(berdoa pada Allah) dan bermusyawarah (berbincang dengan makhluk) dalam
membuat sesuatu pilihan.
Kita tidak perlu meragui lagi yang Rasulullah SAW
menjadikan istikharah itu trend dalam hidup baginda apabila mahu
membuat sesuatu pilihan. Buktinya, kata Jabir
bin Abdullah: Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan,
seperti baginda mengajar kami satu surah dari al-Quran, sabdanya:
“Apabila seseorang kamu
mempunyai rancangan melakukan sesuatu perlulah dia melakukan solat sunnah dua
rakaat, kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
Setelah kewafatan Khadijah, Allah SWT menghadirkan mimpi
seorang gadis yang dibawa oleh malaikat Jibril di dalam kelubung sutera. Apabila
diselak, gadis itu adalah Aisyah. Jibril berkata, “Ini adalah isterimu di dunia
dan di akhirat.” Tiga kali mimpi itu menemani malam baginda.
Baginda cuma berkata kepada diri dengan mimpi itu, “Kalau
ini kehendak Allah, pasti akan terlaksana.” (Muttafaqun a’laih).
Selepas mengalami mimpi itu, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan
Khaulah binti Hakim bin al-Auqash, isteri Usman bin Mazh’un yang mencadangkan
calon isteri untuk baginda. Didapati calon yang dimaksudkan iaitu Saudah dan
Aisyah. Berdasarkan nilaian akhlak dan agama memang patut dijadikan isteri.
Natijahnya, Rasulullah SAW meminta beliau menyampaikan pinangan baginda kepada
calon yang dimaksudkan itu.
Kesimpulannya:
·Buatlah pilihan
dengan istikharah dan musyawarah.
·Petunjuk tidak semestinya hadir melalui mimpi. Namun
sekiranya kita bermimpi yang baik, ia boleh menjadi bonus sokongan daripada
Allah kerana mimpi itu wujud, thabit dan tidak patut diingkari secara
umumnya.
·Petunjuk dapat hadir dalam bentuk ketenangan hati.
Demikian pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh kebanyakan ulama.
·Selepas beristikharah dan berbincang ,kemudian
diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk.
*****************************************************************************************
di petik dari blog : sebarkanbahagia
*****************************************************************************************
di petik dari blog : sebarkanbahagia
No comments:
Post a Comment