Muhammad bin
Ali bin Shabbah Al-Baldani berkata: “Inilah wasiat Imam Syafie yang diberikan
kepada para sahabatnya:
"Hendaklah
anda bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha
Esa, yang tiada sekutu bagiNya. Dan sesungguhnya Muhammad bin Abdullah adalah
hamba dan RasulNya. Kami tidak membezakan para rasul antara satu dengan yang
lain. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah SWT
semata, Tuhan semesta alam yang tiada bersekutu dengan sesuatu pun. Untuk
itulah aku diperintah, dan saya termasuk golongan orang yang menyerahkan diri
kepadaNya."
"Sesungguhnya
Allah SWT membangkitkan orang dari kubur dan sesungguhnya syurga itu haq,
neraka itu haq, azab neraka itu haq, hisab itu haq dan timbangan amal serta
jambatan itu haq dan benar adanya. Allah SWT membalas hambaNya sesuai dengan
amal perbuatannya. Di atas keyakinan ini aku hidup dan mati, dan dibangkitkan
lagi, insya Allah."
"Sesungguhnya
Al-Quran itu adalah kalam Allah SWT, bukan makhluk ciptaanNya. Sesungguhnya
Allah SWT di hari akhir nanti akan dilihat oleh orang-orang mukmin dengan mata
telanjang, jelas, terang tanpa ada suatu penghalang, dan mereka mendengar
firmanNya, sedangkan Dia berada di atas ‘Arsy. Sesungguhnya takdir, baik
buruknya adalah berasal dari Allah Yang Maha Perkasa dan Agung. Tidak terjadi
sesuatu kecuali apa yang Allah SWT kehendaki dan Dia tetapkan dalam qada’
qadarNya."
"Sesungguhnya
sebaik-baik manusia setelah Baginda Rasulullah SAW adalah Abu Bakar, Umar,
Uthman dan Ali radhiallahu’anhum. Aku mencintai dan setia kepada mereka, dan
memohonkan ampun bagi mereka, bagi pengikut perang Jamal dan Shiffin, baik yang
membunuh mahupun yang terbunuh, dan bagi segenap Nabi. Kami setia kepada
pemimpin negara Islam (yang berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah) selama mereka
mendirikan solat. Tidak boleh membangkang serta memberontak mereka dengan
senjata. Kekhalifahan (kepemimpinan) berada di tangan orang Quraisy. Dan
sesungguhnya setiap yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun diharamkan.
Dan nikah mut’ah adalah haram."
"Aku
berwasiat kepadamu dengan taqwa kepada Allah SWT, konsisten dengan sunnah dan
atsar dari Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Tinggalkanlah bid’ah dan hawa
nafsu. Bertaqwalah kepada Allah SWT sejauh yang engkau mampu. Ikutilah solat
Jumaat, jamaah dan sunnah (Rasulullah SAW). Berimanlah dan pelajarilah agama
ini. Siapa yang mendatangiku di waktu ajalku tiba, maka bimbinglah aku membaca
“Laa ilahaillallah wahdahu lasyarikalahu waanna Muhammadan ‘abduhu warasuluh”.
Di antara
yang diriwayatkan Abu Tsaur dan Abu Syu’aib tentang wasiat Imam Syafie adalah:
“Aku tidak
mengkafirkan seseorang dari ahli tauhid dengan sebuah dosa, sekalipun
mengerjakan dosa besar, aku serahkan mereka kepada Allah Azza Wajalla dan
kepada takdir serta iradah-Nya, baik atau buruknya, dan keduanya adalah
makhluk, diciptakan atas para hamba dari Allah SWT. Siapa yang dikehendaki menjadi
kafir, kafirlah dia, dan siapa yang dikehendakiNya menjadi mukmin, mukminlah
dia. Tetapi Allah SWT tidak redha dengan keburukan dan kejahatan dan tidak
memerintahkan atau menyukainya. Dia memerintahkan ketaatan, mencintai dan
meredhainya.
Orang yang baik
dari umat Muhammad SAW masuk syurga bukan kerana kebaikannya (tetapi kerana
rahmatNya). Dan orang jahat masuk neraka bukan kerana kejahatannya semata-mata.
Dia menciptakan makhluk berdasarkan keinginan dan kehendakNya, maka segala
sesuatu dimudahkan bagi orang yang diperuntukkannya, sebagaimana yang terdapat
dalam hadis."
"Aku
mengakui hak pendahulu Islam yang soleh yang dipilih oleh Allah SWT untuk
menyertai NabiNya, mengambil keutamaannya. Aku menutup mulut dari apa yang
terjadi di antara mereka, pertentangan ataupun peperangan baik besar mahupun
kecil. Aku mendahulukan Abu Bakar, kemudian Umar kemudian Uthman kemudian Ali
radhiallahu ‘anhum. Mereka adalah Khulafaur Rasyidin. Aku ikat hati dan
lisanku, bahawa Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan, bukan makhluk yang
diciptakan.
Sedangkan
mempermasalahkan lafaz (ucapan seseorang yang melafazkan Al-Quran apakah
makhluk atau bukan) adalah bid’ah, begitu pula sikap tawaqquf (diam, tidak mahu
mengatakan Al-Quran itu bukan makhluk, juga tidak mahu mengatakan Al-Quran itu
makhluk”) adalah bid’ah. Iman adalah ucapan dan amalan yang mengalami pasang
surut." (Lihat Al-Amru bil Ittiba’, As-Suyuthi, hal. 152-154, tahqiq
Mustofa Asyur; Ijtima’ul Juyusyil Islamiyah, Ibnul Qayyim, 165).
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment