Pages

Thursday, 15 March 2012

NIKAH ‘KHITBAH’ (GANTUNG) BOLEH MENCEGAH PENZINAAN

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32


5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

* Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
* Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
* Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
* Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
* Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
* Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
* Merendahkan hantaran perkahwinan

6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

* Suami
* Isteri
* Wali
* Saksi
* Aqad [ Ijab Qabul ]

cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

* Masih menuntut di kolej atau uniersiti
* Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
* Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.


Disediakan Oleh
Ust.Nasruddin Hassan At Tantawi
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pusat

Credit By : Ustaz NAsruddin ( jazakaAllah hu jhairan katsira ya ustaz

Monday, 5 March 2012

KAHWIN PERDANA : 100 PASANGAN SELAMAT DI IJABKABULKAN



Ribuan saksikan Kahwin Perdana 100 pasangan

PENGKALAN CHEPA, 25.Dis – Buat julung kalinya melalui Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, majlis Perkahwinan Perdana dengan melibatkan 100 pasangan berjaya diadakan hari ini dan berlangsung dengan penuh gilang gemilang.

Bermula dengan solat hajat bertempat di Masjid Besar Muhammadi oleh peserta lelaki dan diarak ke Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan(PUTIK), Pengkalan Chepa dengan menggunakan kereta Perodua VIVA serta diiringi oleh Kelab Motorsikal Klasik, Pengantin lelaki disambut oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pimpinan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita,Keluarga dan Kesihatan Wan Ubaidah Omar ketika menyampaikan ucapan aluan berkata program sebegini adalah membuktikan keperihatinan kerajaan kepada rakyat terutamanya kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Melalui Perkahwinan secara beramai-ramai ini juga boleh menjimatkan belanja keluarga dan sebagai tanda keprihatinan tersebut, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM300 ribu bagi menjayakan program di samping penyediaan Mas Kahwin 1 Dinnar,Wang Tunai RM 500 dan senaskah Al-Quran.

Beliau juga berkata ia bagi menggalakkan perkahwinan di kalangan anak muda dan sekali gus dapat membawa kepada pembentukan masyarakat yang harmoni di negeri ini.
“Dengan terbinanya ikatan perkahwinan ini, diharapkan anak muda akan lebih terurus dan bermatlamat selari dengan tanggungjawab masing-masing”ujar beliau.

Sementara itu Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan Khutbah Nikah secara serentak berkata ikatan perkahwinan ini adalah merupakan satu amanah dan ia tidak boleh dikhianati oleh pasangan yang berkahwin.
“Saya amat gembira bila melihat anak-anak muda sanggup berkahwin dan ini dapat mengelak dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama kita dna diharapkan kedua-dua pihak dapat menjalankan tugas sebagai suami dan isteri yang penuh bertakwa kepada Allah”kata beliau.
Nik Abdul Aziz juga berkata di zaman yang penuh dengan gejala sosial ini, kerajaan amat berharap agar ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak yang sudan matang untuk mendirikan rumahtangga dan mereka ini akan lebih bertanggungjawab apabila mempunyai suami maupun isteri.
Majlis diserikan lagi dengan jamuan pengantin yang turut disertai oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz sendiri dan pimpinan kerajaan negeri. -gegarkelantan


Kahwin Perdana 2010

Kerajaan Negeri Kelantan sekali lagi menerajui perubahan apabila mengorak langkah menganjurkan program 'Kahwin Perdana 2010' bertempat di PUTIK, Kota Bharu hari ini. Kerajaan Kelantan mengorak langkah tampil membawa salah satu jalan penyelesaian ketika masyarakat khususnya muda mudi pada hari ini banyak terjebak dengan maksiat,pergaulan bebas dan penzinaan. Langkah ini patut dipuji dan seharusnya dijadikan contoh kepada kerajaan negeri-negeri lain dan Kerajaan 1 Malaysia sendiri.


Semua kos perkahwinan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Kelantan berupa mas kahwin 1 Dinar Kelantan + RM500 + sebuah al-Quran. Seramai 101 pasangan bertuah menyertai program ini. Langkah ini memberi peluang kepada pasangan yang kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga, sekali gus menyedarkan rakyat bahawa adat dan budaya masyarakat Melayu dalam proses perkahwinan kadang-kadang menyusahkan proses perkahwinan itu sendiri. Maka ramailah yang mengambil jalan pintas semata-mata untuk menempiaskan nafsu serakah di hotel-hotel murah,di dalam semak, hatta dalam tandas awam sekalipun. Anak-anak luar nikah yang lahir hasil dari serakah mereka ini juga dibuang, ditinggalkan bahkan dilempar kerana mereka hanya berlandaskan nafsu semata-mata.

Islam tidak pernah sesekali menghalang fitrah manusia dan menyediakan jalan keluar yang terbaik, fitrah manusia itu saling menyukai antara lelaki dan perempuan, fitrah manusia itu sukakan syahwat. Islam menyediakan perkahwinan sebagai jalan penyelesaian berbeza dengan sesetengah agama ciptaan manusia yang menghalang alim ulamak mereka dari berkahwin. Katanya kahwin itu kotor, tidak menyucikan diri dan sebagainya. Hasil dari itu, kita sering terdengar bahawa ada kes-kes alim ulamak mereka ini berzina secara sorok-sorok. Sememangnya syahwat itu adalah fitrah manusia, kenapa menghalang? Secara automatik, ternafilah agama ciptaan manusia ini.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga & Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Majlis Agama Islam Kelantan di atas penganjuran 'Kahwin Perdana 2010' ini. Mudah-mudahan program ini dijadikan program tahunan kerajaan negeri dalam proses melahirkan Ijtima' Muslim, seterusnya Negeri Islam yang diredhai dan diberkati. "Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghofur". -jottumah









P/S : IHSAN MUSLEEMUNITED

CINTA SAMPAI SYURGA ♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥



CINTA SAMPAI SYURGA

Husband : Can I marry again??

Wife : With whom? :'(

Husband : With you..

Wife : ??????? =_=''

Husband : in the ALLAH'S HEAVEN. ♥♥♥

_________________________________________

-Dalam nas Hadis sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud:

"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"

(riwayat Al-Bukhari)

-Antara nas Hadis Baginda yang lain yang sangat memberikan galakan kepada golongan remaja yang mampu supaya berkahwin demi menjaga agama dan kehormatan diri ialah sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri"

(riwayat Bukhari dan Muslim)

-jom kawen, kapel xbest ^_^





AKU DAMBA PERKAHWINAN YANG SEMPURNA

KONGSIKAN :

Berkahwin bukan semata-mata kerana cinta tetapi untuk menyempurnakan agama.

Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang hamba menikah, maka telah sempurnalah setengah agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada setengah yang lain.”

Seperti mana sebuah cinta yang mendalam boleh pudar begitulah jua cinta yang tiada kan bisa dipupuk. Cuba kembali ke zaman dahulu di waktu nenek dan datuk kita bertemu dan bersatu. Kebanyakan dari mereka ditentu jodoh oleh ibu bapa. Tanpa bantahan tanpa bicara, perkahwinan di setuju asalkan calon menantu seorang yang baik dan beriman.

Statistic penceraian yang terjadi di waktu itu tidak lah menghampakan seperti sekarang. Walau mereka bersatu bukan atas dasar cinta tetapi lama-kelamaan rasa itu bisa dirasa. Disitulah hikmahnya sebuah restu orang tua.

Tetapi cuba kita buka mata dan melihat dunia hari ini. Penceraian demi penceraian sering kita kedengaran. Hampir sahaja perkara tersebut di anggap biasa dan kini kita sudah tidak terkejut mendengar penceraian yang berlaku di mana-mana pun.

Entah apa puncanya. Berkahwin kerana cinta sama cinta pun masih banyak masalah melanda. Bercinta hampir 5 tahun, berkahwin tak sampai 5 bulan. Mengapa terjadinya kejadian-kejadian yang terlalu mengecewakan ini?

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia.”

Perkahwinan sebenarnya sangat suci dan merupakan ikatan dua hati. Disitu kan teruji sebuah kesabaran, kesetiaan, ketaatan dan keyakinan. Berkahwinlah dengan niat untuk menyempurnakan agama. Makanya, pasangan yang dipilih jangan kerana nilai material yang ada padanya. Jika berkahwin semata-mata hanya kerana cinta, suatu masa nanti cinta akan pudar jika tidak di baja atau pun tatkala hati bertemu dengan insan yang lebih sempurna.


Berkahwin kerana kesempurnaan dan kecantikan, suatu masa nanti tatkala kau jumpa kelemahannya, kau akan mula berasa hampa dan tidak berguna.

Oleh itu, berkahwinlah kerana agama. Perbetulkan niat kerana Allah yang lebih utama. Bukan berharap pada kesempurnaan dia semata-mata, tetapi tekadlah untuk sama-sama melengkapi kekurangan diri. Sama-sama membimbing ke jalan yang diredai.

Kehidupan ini tidak lama, kematian akan membawa kepada sebuah alam yang kekal. Di alam sana kita mahu bersama keluarga kita kembali, berkumpul dan bersatu lagi. Tetapi jika kita tidak bentuk diri menjadi insan yang bertaqwa, bagaimana kita akan menemukan insan yang bertaqwa dan bagaimana nanti kita akan memimpin pasangan kita untuk bersama-sama dunia akhirat?

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)

Tidak mengapalah jika pasangan kita kurang rupa, asalkan dia orang yang kuat agama. Kecantikan dunia tidak akan kekal lama. Meningkat usia rupa sudah hilang mudanya. Dan perhatikan pula jika berlaku kemalangan yang menjejaskan rupa, mencacatkan anggota dan menghilangkan keupayaan kita, hilang ranap segala yang kita banggakan itu. Itulah kecantikan yang ada di dunia.

Tetapi, di alam syurga, semua manusia akan jelita dan kacak bergaya. Itu akan kekal abadi, dan mata tidak akan pernah jemu-jemu menatapnya. Subhanallah!

Jangan hampa jika pasangan kita tidak kaya, asal hatinya kaya dengan zikir-zikir mengingati yang Esa. Harta dunia cuma tipu daya. Kemiskinan satu ujian dan kekayaan jua suatu ujian. Malah jika iman menipis di dada, kekayaan yang melimpah ruah itu sememangnya sukar dijaga. Dan di akhirat nanti setiap sen yang kita ada akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan.

Cukuplah sekadarnya kita punya, asalkan kita masih mampu menjalani kehidupan dengan mudah dan sempurna. Asalkan kita mampu mencari rezeki yang halal yang tidak bergelumang hutang piutang, itu sudah memadai. Berdoalah kepada Allah memohon perlindungan dan kekuatan dari nafsu yang tidak jemu merayu.

Di alam syurga yang kekal sana, tiada lagi manusia yang miskin, segala apa yang dihajati akan sampai hatta dengan sekali niat sahaja. Rumah-rumah bersalut kemewahan, kenderaan yang jauh lebih hebat dan tidak mampu di bayangkan. Subhanallah,cukup besar anugerah Allah kepada mereka yang tidak melupakanNya.

Dari Abu Musa Al Asy’ari dari Nabi shallallaahu alaihi wa sallam beliau bersabda, “Sesungguhnya bagi orang-orang mukmin di dalam syurga disediakan rumah yang terbuat dari mutiara yang besar dan berlubang, panjangnya 60 mil, di dalamnya tinggal keluarganya, di sekelilingnya tinggal pula orang mukmin lainnya namun mereka tidak saling melihat satu sama lain.”[11]

Allah berfirman yang maksudnya:

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai didalamnya”. (QS al-Baqarah : 25)


 Bentuklah keluarga menjadi keluarga yang bahagia. Bahagia bukan hanya mendamba meterialistik semata-mata. Tetapi bahagia akan hadir dalam reda Dia. Kukuhkan iman dalam ketaqwaan, biar derita menjadi ujian, asal penghujungnya sebuah keindahan yang berkekalan.

Sunday, 4 March 2012

WASIAT AL IMAM SYAFIE RAHIMAHULLAH


Muhammad bin Ali bin Shabbah Al-Baldani berkata: “Inilah wasiat Imam Syafie yang diberikan kepada para sahabatnya:

"Hendaklah anda bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagiNya. Dan sesungguhnya Muhammad bin Abdullah adalah hamba dan RasulNya. Kami tidak membezakan para rasul antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah SWT semata, Tuhan semesta alam yang tiada bersekutu dengan sesuatu pun. Untuk itulah aku diperintah, dan saya termasuk golongan orang yang menyerahkan diri kepadaNya."

"Sesungguhnya Allah SWT membangkitkan orang dari kubur dan sesungguhnya syurga itu haq, neraka itu haq, azab neraka itu haq, hisab itu haq dan timbangan amal serta jambatan itu haq dan benar adanya. Allah SWT membalas hambaNya sesuai dengan amal perbuatannya. Di atas keyakinan ini aku hidup dan mati, dan dibangkitkan lagi, insya Allah."

"Sesungguhnya Al-Quran itu adalah kalam Allah SWT, bukan makhluk ciptaanNya. Sesungguhnya Allah SWT di hari akhir nanti akan dilihat oleh orang-orang mukmin dengan mata telanjang, jelas, terang tanpa ada suatu penghalang, dan mereka mendengar firmanNya, sedangkan Dia berada di atas ‘Arsy. Sesungguhnya takdir, baik buruknya adalah berasal dari Allah Yang Maha Perkasa dan Agung. Tidak terjadi sesuatu kecuali apa yang Allah SWT kehendaki dan Dia tetapkan dalam qada’ qadarNya."

"Sesungguhnya sebaik-baik manusia setelah Baginda Rasulullah SAW adalah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radhiallahu’anhum. Aku mencintai dan setia kepada mereka, dan memohonkan ampun bagi mereka, bagi pengikut perang Jamal dan Shiffin, baik yang membunuh mahupun yang terbunuh, dan bagi segenap Nabi. Kami setia kepada pemimpin negara Islam (yang berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah) selama mereka mendirikan solat. Tidak boleh membangkang serta memberontak mereka dengan senjata. Kekhalifahan (kepemimpinan) berada di tangan orang Quraisy. Dan sesungguhnya setiap yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun diharamkan. Dan nikah mut’ah adalah haram."

"Aku berwasiat kepadamu dengan taqwa kepada Allah SWT, konsisten dengan sunnah dan atsar dari Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Tinggalkanlah bid’ah dan hawa nafsu. Bertaqwalah kepada Allah SWT sejauh yang engkau mampu. Ikutilah solat Jumaat, jamaah dan sunnah (Rasulullah SAW). Berimanlah dan pelajarilah agama ini. Siapa yang mendatangiku di waktu ajalku tiba, maka bimbinglah aku membaca “Laa ilahaillallah wahdahu lasyarikalahu waanna Muhammadan ‘abduhu warasuluh”.

Di antara yang diriwayatkan Abu Tsaur dan Abu Syu’aib tentang wasiat Imam Syafie adalah:

“Aku tidak mengkafirkan seseorang dari ahli tauhid dengan sebuah dosa, sekalipun mengerjakan dosa besar, aku serahkan mereka kepada Allah Azza Wajalla dan kepada takdir serta iradah-Nya, baik atau buruknya, dan keduanya adalah makhluk, diciptakan atas para hamba dari Allah SWT. Siapa yang dikehendaki menjadi kafir, kafirlah dia, dan siapa yang dikehendakiNya menjadi mukmin, mukminlah dia. Tetapi Allah SWT tidak redha dengan keburukan dan kejahatan dan tidak memerintahkan atau menyukainya. Dia memerintahkan ketaatan, mencintai dan meredhainya.

Orang yang baik dari umat Muhammad SAW masuk syurga bukan kerana kebaikannya (tetapi kerana rahmatNya). Dan orang jahat masuk neraka bukan kerana kejahatannya semata-mata. Dia menciptakan makhluk berdasarkan keinginan dan kehendakNya, maka segala sesuatu dimudahkan bagi orang yang diperuntukkannya, sebagaimana yang terdapat dalam hadis."

"Aku mengakui hak pendahulu Islam yang soleh yang dipilih oleh Allah SWT untuk menyertai NabiNya, mengambil keutamaannya. Aku menutup mulut dari apa yang terjadi di antara mereka, pertentangan ataupun peperangan baik besar mahupun kecil. Aku mendahulukan Abu Bakar, kemudian Umar kemudian Uthman kemudian Ali radhiallahu ‘anhum. Mereka adalah Khulafaur Rasyidin. Aku ikat hati dan lisanku, bahawa Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan, bukan makhluk yang diciptakan.

Sedangkan mempermasalahkan lafaz (ucapan seseorang yang melafazkan Al-Quran apakah makhluk atau bukan) adalah bid’ah, begitu pula sikap tawaqquf (diam, tidak mahu mengatakan Al-Quran itu bukan makhluk, juga tidak mahu mengatakan Al-Quran itu makhluk”) adalah bid’ah. Iman adalah ucapan dan amalan yang mengalami pasang surut." (Lihat Al-Amru bil Ittiba’, As-Suyuthi, hal. 152-154, tahqiq Mustofa Asyur; Ijtima’ul Juyusyil Islamiyah, Ibnul Qayyim, 165).

Wallahua'lam...


Saturday, 3 March 2012

CINTA MENURUT IMAM AL SYAFIE


Imam Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama. Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya:

“Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.

Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku.

Ku kunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia”.

Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya. Katanya:

“Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.

Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa persahabatan”.

Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata:

“Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan.

Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.

Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.”


Friday, 2 March 2012

ALLAH ITU MAHA LEMBUT DAN SUKAKAN KELEMBUTAN


Cara Melembutkan Hati

Hadis riwayat Aisyah ra. isteri Nabi saw.:

Rasulullah saw. bersabda: “Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut yang menyukai kelembutan. Allah akan memberikan kepada orang yang bersikap lembut sesuatu yang tidak diberikan kepada orang yang bersikap keras dan kepada yang lainnya”.


Kita tidak lalai akan doa yang satu ini : “Ya Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah diriku dalam Agama-Mu dan dalam Ketaatan kepada-Mu”.
Begitulah, menjaga hati untuk sentiasa istiqomah berada di jalan Allah, senantiasa bersih dari segala kotoran dan lembut dari segala kekerasan (hati), tidaklah mudah. Kesibukan dan rutin kita yang memerah tenaga dan fikiran, serta interaksi yang terus menerus dengan masalah duniawi, jika tidak diimbangi dengan “makanan-makanan” hati, terkadang membuat hati menjadi keras, kering, lalu mati. Padahal sebagai seorang mukmin, dalam melihat pelbagai persoalan kehidupan, haruslah dengan mata hati yang jernih.


Untuk itu, beberapa nasihat berikut patut kita renungi bersama dalam usaha kita untuk melembutkan hati. Kita hendaklah senantiasa:

1. Takut akan datangnya maut secara tiba-tiba sebelum kita sempat bertaubat.

2. Takut tidak menunaikan hak-hak Allah secara sempurna. Sesungguhnya hak-hak Allah itu pasti diminta pertanggungjawabannya.

3. Takut tergelincir dari jalan yang lurus, dan berjalan di atas jalan kemaksiatan dan jalan syaitan.

4. Takut memandang remeh atas banyaknya nikmat Allah pada diri kita.

5. Takut akan balasan seksa yang segera di dunia, kerana maksiat yang kita lakukan.

6. Takut mengakhiri hidup dengan su’ul khatimah.

7. Takut menghadapi sakaratul maut dan sakitnya sakaratul maut.

8. Takut menghadapi pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur.

9. Takut akan azab di alam kubur.

10. Takut menghadapi pertanyaan hari kiamat atas dosa besar dan dosa kecil yang kita lakukan.

11. Takut melalui titian yang tajam. Sesungguhnya titian itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam dari pedang.

12. Takut dijauhkan dari memandang wajah Allah.

13. Perlu mengetahui tentang dosa dan aib kita.

14. Takut terhadap nikmat Allah yang kita rasa siang dan malam sedang kita tidak bersyukur.

15. Takut tidak diterima amalan-amalan kita.

16. Takut bahwa Allah tidak akan menolong dan membiarkan kita sendiri.

17. Kekhuatiran kita menjadi orang yang tersingkap aibnya pada hari kematian dan pada hari timbangan ditegakkan.

18. Hendaknya kita mengembalikan urusan diri kita, anak-anak, keluarga dan harta kepada Allah SWT. Dan jangan kita bersandar dalam memperbaiki urusan ini kecuali pada Allah.

19. Sembunyikanlah amal-amal kita dari riya’ ke dalam hati, kerana terkadang riya’ itu memasuki hati kita, sedang kita tidak merasakannya. Hasan Al Basri rahimahullah pernah berkata kepada dirinya sendiri. “Berbicaralah engkau wahai diri. Dengan ucapan orang soleh, yang qanaah lagi ahli ibadah. Dan engkau melaksanakan amal orang fasik dan riya’. Demi Allah, ini bukan sifat orang mukhlis”.

20. Jika kita ingin sampai pada darjat ikhlas maka hendaknya akhlak kita seperti akhlak seorang bayi yang tidak peduli orang yang memujinya atau membencinya.

21. Hendaknya kita memiliki sifat cemburu ketika larangan-larangan Allah diremehkan.

22. Ketahuilah bahwa amal soleh dengan keistiqomahan jauh lebih disukai Allah daripada amal soleh yang banyak tetapi tidak istiqomah dengan tetap melakukan dosa.

23. Ingatlah setiap kali kita sakit bahawa kita telah istirahat dari dunia dan akan menuju akhirat dan akan menemui Allah dengan amalan yang buruk.

24. Hendaknya ketakutan pada Allah menjadi jalan kita menuju Allah selama kita sihat.

25. Setiap kali kita mendengar kematian seseorang maka perbanyaklah mengambil pelajaran dan nasihat. Dan jika kita menyaksikan jenazah maka bayangkanlah jika kita yang sedang diusung.

26. Hati-hatilah menjadi orang yang mengatakan bahwa Allah menjamin rezeki kita sedang hatinya tidak tenteram kecuali sesuatu yang ia kumpul-kumpulkan. Dan menyatakan sesungguhnya akhirat itu lebih baik dari dunia, sedang kita tetap mengumpul-ngumpulkan harta dan tidak menginfakkannya sedikit pun, dan mengatakan bahwa kita pasti mati padahal tidak pernah ingat akan mati.

27. Lihatlah dunia dengan pandangan iktibar (pelajaran) bukan dengan pandangan mahabbah (kecintaan) kepadanya dan sibuk dengan perhiasannya.

28. Ingatlah bahwa kita sangat tidak kuat menghadapi cubaan dunia. Lantas apakah kita sanggup menghadapi panasnya jahannam?

29. Di antara akhlak wanita mukminah adalah menasihati sesama mukminah.

30. Jika kita melihat orang yang lebih besar dari kita, maka muliakanlah dia dan katakan kepadanya, “Anda telah mendahului saya di dalam Islam dan amal soleh maka dia jauh lebih baik di sisi Allah. Anda keluar ke dunia setelah saya, maka dia lebih baik sedikit dosanya dari saya dan dia lebih baik dari saya di sisi Allah.”
“Allah Maha Lembut kepada hamba-hambaNya, Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” As-Syura:19



“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” Al-Maidah:54


HAKIKAT PERKAHWINAN SEMASA BELAJAR


Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin?
Kalau ikut kata mak ayah, “Nak bagi bini makan apa? Pasir?”

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami ‘declare’, untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar ‘cinta rebound’, tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.

Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.

Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening?

Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.

Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.

Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.

Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.

Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.

“Seganlah. Nanti orang kata apa.”

“Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran.”

Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!
Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri.
Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.

Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.

(iluvislam.com)
P/S : c&p By Am

Thursday, 1 March 2012

5 PENAWAR HATI


5 Penawar Hati‘Abdullah Al-Inthaqi rahimullah berkata “Ada 5 hal yang termasuk penawar hati iaitu:-

1. bergaul dengan orang soleh

2. membaca al-Quran dan mentadabburinya

3. sedikit makan

4. qiamullail

5. bermunajat kepada Allah pada waktu sahur

Yang dimaksudkan dengan penawar hati adalah beberapa hal yang perlu dilakukan agar hati seseorang tidak menjadi keras.

Bergaul dengan orang soleh maksudnya banyak menghadiri majlis ta’lim mereka dan mendengar nasihat mereka. Termasuk di dalamnya adalah sikap diam dan ‘uzlah dari mereka yang membicarakan kebathilan.

Berkaitan dengan sedikit makan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ada tiga hal yang dapat menyebabkan kerasnya hati, iaitu banyak makan, banyak tidur dan suka bersantai-santai”

(dipetik dari Kitab Nashaihul ‘Ibaad)

CINTAILAH KERANA ALLAH


Imam Syafie pernah ditanya oleh isterinya, “Suamiku, apakah engkau mencintaiku?” Beliau menjawab, “Ya tentu saja, dirimu adalah sebahagian dalam hidupku.” Mendengar itu, isterinya bertanya lagi “Apakah engkau juga mencintai Allah? Bagaimana mungkin dua cinta menyatu dalam hati seorang mukmin, Cinta kepada Allah dan juga mencintaiku?” Beliau tersenyum dan mengatakan kepada isterinya dengan pandangan mata yang lembut penuh kasih sayang. “Kerana cintaku kepada Allah, maka aku mencintai makhlukNya, memperlakukan dengan hormat dan penuh kasih sayang terhadap isteriku, anak-anakku dan sesama insan. Aku mencintaimu kerana cintaku kepada Allah.”

Tiada satu pun perkara dalam dunia ini terlepas dari ciptaan Allah. Seandainya kita mencintai seseorang, sedarlah bahawa orang itu juga adalah ciptaan Allah. Maka yang manakah perkara yang lebih layak dicintai? Penciptanya atau penghasilan-Nya? Sudah tentu penciptanya kerana kita sendiri adalah makhluk yang diciptakan-Nya. Mana mungkin kita mampu mempunyai rasa cinta dan kasih sayang seandainya diri tidak dilahirkan ke dunia ini.

Oleh itu adalah satu kesalahan andainya kita tidak sandarkan rasa suka, kasih sayang dan cinta yang kita miliki ini pada Allah yang menciptakan kita semua. Seharusnya rasa cinta yang hadir kepada manusia itu menambahkan lagi rasa cinta kita kepada Allah kerana hal itu telah menyempurnakan hidup kita.

Apabila kita mencintai seseorang kerana Allah, kita akan mendekatkan dirinya kepada Allah. Kita juga mahu dirinya mendekatkan diri kita kepada Allah. Segala salah silap ditegur demi mendapat keredhaan Allah. Bukan membiarkan dirinya hanyut dan leka dalam nikmat dunia. Kita dapat perhatikan ramai manusia membiarkan pasangannya bergelumang dalam kehidupan penuh maksiat sedangkan dalam masa yang sama dia mengaku mencintai pasangannya. Cinta seperti ini bukanlah cinta yang dikehendaki dalam Islam dan inilah contoh gambaran cinta kepada manusia bukan kerana mereka mencintai Allah.

Oleh Syeikh al-Kubrawiyyah.
Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus ikhlas dalam berkasih sayang, dan selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.