Assalamualaikum...
Alhamdulillah diberikan kesempatan lagi
untuk terus melakar sesuatu di sini, setelah berjuang bersungguh-sungguh
menguruskan masa dengan baik. Masih belum benar-benar mahir menguruskan masa,
tapi alhamdulillah tidaklah terlalu teruk sangat. Pada entry yang sebelumnya kita telah bercakap
tentang Program-program dan majlis-majlis Haul Imam al-Habib Abdullah
al-Haddad. Menyebut saja, tetapi tidak kenal, tidak ada gunanya. Tidak kenal,
maka tidak cinta bukan? Justeru kita semak secara menyeluruh,
siapakah sebenarnya al-Imam al-Habib Abdullah al-Haddad ini.
Sebelum daripada itu, Majlis Haul Imam Abdullah
al-Haddad telah dilangsungkan pertama kalinya secara umum pada 2001. Majlis
Haul Imam Abdullah al-Haddad diadakan secara rasmi sebagai memperingati
peninggalan beliau serta memperkenalkan taburan ilmu bermanfaat daripada tokoh
ulama yang juga digelar Mujaddid Islam pada abad yang ke-12 ini. Majlis-Majlis
Haul ini telah berkembang secara tetap di seluruh tanah air, yang mana ianya
dilangsungkan pada bulan Zulkaedah setiap tahun. Sehingga sekarang majlis ini
dikelolakan dihampir setiap negeri serata Malaysia. Setiap tahun, jumlah para
hadirin semakin bertambah dan yang paling ketara ialah penambahan hadirin dari
luar negara yang secara tidak langsung mendapat berita tentang majlis-majlis
tahunan ini bermotivasikan pengenalan, kecintaan dan manfaat yang dialami
daripada Imam al-Haddad sendiri.
SEKILAS TENTANG IMAM ABDULLAH AL-HADDAD.

Beliau
bernama Abdullah bin Alawi bin Muhammad bin Ali Al-Tarimi Al-Haddad Al-Husaini
Al-Yamani. Beliau (rahimahullah) dilahirkan di Subir sebuah perkampungan
berhampiran Kota Tarim di Wadi Hadhramaut, selatan negeri Yaman pada hari Ahad
5 haribulan Safar tahun 1044 hijriah bersamaan 30 haribulan Julai tahun 1634
Masehi. Al-Habib telah diasuh dan ditarbiah di Kota Tarim. Ketika beliau
meningkat umur empat tahun, AL-Habib dijangkiti penyakit cacar yang
mengakibatkan kehilangan daya penglihatan. Walaupun demikian, Allah yang Maha
Agong lagi Mulia telah menggantikan kepada All-Habib dengan mata hati (cahaya
ilmu dan pengetahuan serta keyakinan dan wilayah). Berdasarkan kurniaan ini,
Al-Habib telah berusaha dengan penuh dedikasi dan kegigihan menceduk ilmu
daripada sejumlah besar para ulama di Yaman. Cinta beliau terhadap ilmu dan
para ulama menghasilkan kebolehan menguasai ajaran para ahli tahkik (orang yang
mengenali Allah dengan 'ainul-yakin serta hakkul-yakin). Semenjak kecil lagi
beliau memaparkan kekuatan usaha ibadat dan kerajinan menuntut ilmu.
Al-Habib
pernah berkata "Ketika aku masih kecil, aku telah berusaha
bersungguh-sungguh untuk beribadat dan melaksanakan pelbagai mujahadah yang
lainnya, sehingga ditegur oleh nendaku yang solehah bernama Salma binti Said
Al-Wali Omar Ba'Alawi supaya menjaga diriku. Dia sering berkata demikian jika
dikira ibadat serta mujahadah yang aku usahakan dianggap terlalu kuat dan
banyak. Sebaliknya aku telah banyak meninggalkan mujahadah semenjak permulaan
perjalanan ini semata-mata memelihara hati kedua ibubapaku yang amat prihatin
terhadap keadaanku".
Walaupun
Al-Habib (radiAllahu'anhu) sering keluar ke kawasan sekitarnya dan perkampungan
di sekeliling Tarim, beliau berkata "Aku lebih seronok bersendirian demi
kerana Allah, kerana alangkah nikmatnya kelazatan (al-uns) bersama dengan
Allah".
Pada
permulaan perjalanan hidup Al-Habib, beliau sentiasa menyusuri negerinya untuk
bertemu para solihin, menziarahi puasara para ulama dan auliya'. Pada masa
beliau berada di perkampungannya, beliau sering duduk di sudut 'Masjid
Al-Hijriah' dan pada waktu malamnya sering bersolat bergiliran di setiap masjid
dalam Kota Tarim. Sesungguhnya inilah yang membuka hati beliau semenjak kecil
lagi. Al-Habib sering membaca surah Yaasin yang mempengaruhi jiwanya dan
menyebabkan beliau menitiskan air mata yang begitu banyak. Keadaan demikian
sering mengakibatkan ketidakmampuannya membaca surah yang mulia ini. Inilah
yang mendorong Sayyed Abdullah Bilfagih menjelaskan tentang Al-Habib dengan
katanya "Di sinilah futuh (pembukaan) bagi Al-Habib"
AKHLAK
DAN BUDI PEKERTI
Al-Imam
Al-Haddad (rahimahullah) memiliki perwatakan badan yang tinggi, berdada bidang,
tidak terlalu gempal, berkulit putih, sangat berhaibah dan tidak pula di
wajahnya kesan mahupun parut cacar.
Wajahnya sentiasa manis dan menggembirakan orang lain di dalam majlisnya.
Ketawanya sekadar senyuman manis; apabila beliau gembira dan girang, wajahnya
bercahaya bagaikan bulan. Majlis kendalian beliau sentiasa tenang dan penuh
kehormatan sehinggakan tidak terdapat hadhirin berbicara mahupun bergerak
keterlaluan bagaikan terletak seekor burung di atas kepala mereka.
Mereka yang menghadhiri ke majlis Al-Habib bagaikan terlupa kehidupan dunia
bahkan terkadang Si-lapar lupa hal kelaparannya; Si-sakit hilang sakitnya;
Si-demam sembuh dari demamnya. Ini dibuktikan apabila tiada seorang pun yang
yang sanggup meninggalkan majlisnya.
Al-Imam sentiasa berbicara dengan orang lain menurut kadar akal mereka dan sentiasa
memberi hak yang sesuai dengan taraf kedudukan masing-masing. Sehinggakan
apabila dikunjungi pembesar, beliau memberi haknya sebagai pembesar; kiranya
didatangi orang lemah, dilayani dengan penuh mulia dan dijaga hatinya. Apatah
lagi kepada Si-miskin.
Beliau amat mencintai para penuntut ilmu dan mereka yang gemar kepada alam
akhirat. Al-Habib tidak pernah jemu terhadap ahli-ahli majlisnya bahkan
sentiasa diutamakan mereka dengan kasih sayang serta penuh rahmah; tanpa
melalaikan beliau daripada mengingati Allah walau sedetik. Beliau pernah
menegaskan “Tiada seorang pun yang berada di majlisku menggangguku dari
mengingati Allah”.
Majlis Al-Imam sentiasa dipenuhi dengan pembacaan kitab-kitab yang bermanfaat,
perbincangan dalam soal keagamaan sehingga para hadhirin sama ada yang alim
ataupun jahil tidak akan berbicara perkara yang mengakibatkan dosa seperti
mengumpat ataupun mencaci. Bahkan tidak terdapat juga perbicaraan kosong yang
tidak menghasilkan faedah. Apa yang ditutur hanyalah zikir, diskusi keagamaan,
nasihat untuk muslimin, serta rayuan kepada mereka dan selainnya supaya beramal
soleh. Inilah yang ditegaskan oleh beliau “Tiada seorang pun yang patut menyoal
hal keduniaan atau menyebut tentangnya kerana yang demikian adalah tidak wajar;
sewajibnya masa diperuntuk sepenuhnya untuk akhirat sahaja. Silalah bincang
perihal keduniaan dengan selain dariku.”
Al-Habib (rahimahullah) adalah contoh bagi insan dalam soal perbicaraan mahupun
amalan; mencerminkan akhlak junjungan mulia dan tabiat Al-Muhammadiah yang
mengalir dalam hidup beliau. Beliau memiliki semangat yang tinggi dan azam yang
kuat dalam hal keagamaan. Al-Imam juga sentiasa menangani sebarang urusan
dengan penuh keadilan dengan menghindari pujian atau keutamaan dari oramg lain;
bahkan beliau sentiasa mempercepatkan segala tugasnya tanpa membuang masa.
Beliau bersifat mulia dan pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ciri
inilah menyebabkan ramai orang dari pelusuk kampung sering berbuka puasa
bersama beliau di rumahnya dengan hidangan yang tidak pernah putus semata mata
mencari barakah Al-Imam. Tidak terputus pengunjung bertamu dengan beliau pada
bulan mulia ini di rumah perkampungan beliau di Al-Hawi.
Al-Imam menyatakan “Sesuap makanan yang dihadiahkan atau disedekahkan mampu
menolak kesengsaraan”. Katanya lagi “Kiranya ditangan kita ada kemampuan,
nescaya segala keperluan fakir miskin dipenuhi, sesungguhnya permulaan agama
ini tidak akan terdiri melainkan dengan kelemahan Muslimin”.
Beliau adalah seorang yang memiliki hati yang amat suci, sentiasa sabar
terhadap sikap buruk daripada yang selainnya serta tidak pernah merasa marah.
Kalaupun ia memarahi, bukan kerana peribadi seseorang tetapi sebab amalan
mungkarnya yang telah membuat Al-Imam benar-benar marah. Inilah yang ditegaskan
oleh Al-Habib “Adapun segala kesalahan berkait dengan hak aku, aku telah
maafkan; tetapi hak Allah sesungguhnya tidak akan dimaafkan”.
Al-Imam amatlah menegah dari mendoa agar keburukan dilanda orang yang menzalimi
mereka. Sehingga bersama beliau terdapat seorang pembantu yang terkadangkala
melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemarahan Al-Imam. Namun beliau
menahan marahnya; bahkan kepada pembantu itu diberi hadiah oleh Al-Habib untuk
meredakan rasa marah beliau sehinggakan pembantunya berkata: “Alangkah baiknya
jika Al-Imam sentiasa memarahiku”.
Segala pengurusan hidupnya berlandaskan sunnah; kehidupannya penuh dengan
keilmuan ditambah pula dengan sifat wara’. Apabila beliau memberi upah dan sewa
sentiasa dengan jumlah yang lebih dari asal tanpa diminta. Kesenangannya adalah
membina dan mengimarahkan masjid. Di Nuwaidarah dibinanya masjid bernama
Al-Awwabin begitu juga, Masjid Ba-Alawi di Seiyoun, Masjid Al-Abrar di
As-Sabir, Masjid Al-Fatah di Al-Hawi, Masjid Al-Abdal di Shibam, Masjid
Al-Asrar di Madudah dan banyak lagi.
Diantara sifat Al-Imam termasuk tawaadu’ (merendah diri). Ini terserlah pada
kata-katanya, syair-syairnya dan tulisannya. Al-Imam pernah mengutusi Al-Habib
Ali bin Abdullah Al-Aidarus. “Doakanlah untuk saudaramu ini yang lemah semoga diampun
Allah.”
IBADAH DAN MUJAHADAH
Tiada siapa yang pernah menyatakan Al-Imam bersolat walau satu waktu
bersendirian, atau tidak solat di awal waktu, sembahyang dalam situasi yang
tergopah-gapah, atau meninggalkan qiamullail. Di antara sifat mulianya Al-Imam
ialah tidak berbicara ketika menunggu waktu solat dan amat marah jika ada yang
cuba berkata-kata di waktu itu. Bahkan beliau menegahnya serta memberi amaran
kepada sahabatnya dari menegurnya ketika waktu tersebut. Inilah yang ditegaskan
oleh Al-Imam dengan katanya: “Kami keluar dengan penuh menghadirkan diri dan
meninggalkan segala kerunsingan”.
Dan tegasnya lagi: “Kami tidak bercadang untuk melaksanakan sebarang solat
sunat An-Nawaafil (solat sebelum dan selepas sembahyang fardhu) kecuali setelah
hati kami benar-benar hadhir dan iqbal (menuju) kepada Allah”.
Al-Imam amat memeliharai amalan solat Rawaatib. Doa-doa serta wirid-wiridnya
yang ma’thur dari amalan Rasul SAW, termasuk mendirikan solat Dhuha sebanyak
lapan rakaat dan solat Isyraq sebanyak empat rakaat sebelumnya, solat Awwaabin
sebanyak dua puluh rakaat selepas sunat maghrib; di mana Al-Imam menyempurnakan
empat rakaat sebelum setiap salam. Di waktu subuh pada hari Jumaat, Al-Imam
berjemaah solat Fajar di masjid Al-Jame’ seterusnya beri’tiqaf sehingga solat
Jumaat demi mendapat keutamaan berawal-awalan untuk solat tersebut.
Al-Imam juga amat sedikit tidur, sekadar merehatkan diri sahaja. Kebiasaan
Al-Imam melambatkan solat witir sehingga hampir fajar; ini disebabkan Al-Imam
tidur sedikit (qailulah) selepas solat-solat qiamullail. Kemudian barulah
berwudu’ untuk solat witir sebelum subuh. Beliau sentiasa berzikir seumpama ‘La
ila ha illallah’ yang terlalu banyak jumlahnya sehinggalah tidak pernah
berhenti; Al-Imam membiasakan dirinya dengan ini walaupun diundang perbualan
dengan sesiapa.
Al-Imam juga memperbanyakkan puasa, terutamanya pada hari yang diutamakan iaitu
Isnin dan Khamis, Ayyaamul Baidh (hari ke 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan), hari
‘Asyura; hari ‘Arafah, enam hari dalam bulan Syawwal; sehinggalah terhentinya
amalan ini apabila Al-Imam sudah berumur dan lemah.
Adapun pada bulan Ramadhan, Al-Imam telah menjelaskan kepada para sahabatnya
“Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan amal, perkurangkanlah/tinggalkan sementara
ilmu semata-mata untuk beribadah dalam bulan ini”. Seterusnya dapat dilihat
orang-orang yang ramai mengurangan kelas-kelas ilmu kecuali selepas Asar,
sebagai peringatan beliau kepada sahabat-sahabat yang utamakan amal
bersungguh-sungguh dan membersihkan dalaman (batin).
Walaubagaimanapun Al-Imam tidak pernah menunjuk-nunjukkan amalnya kecuali
keadaan memaksakan seperti supaya ianya dijadikan tauladan kepada yang lain.
Kata Al-Imam: “tidak aku tonjolkan amalan ini dengan sengaja, walaupun itu
Alhamdulillah aku tidak bimbang dari sifat riya’ (disebabkan orang mengetahui
amalan aku). Ingatlah sebagaimana Sayyidina Abu Bakar Al-Siddiq menyatakan
tentang perkara ini berlandaskan firman Allah (yang bermaksud) “Sama sekali aku
tidak memuji diri ini dengan kebaikan, maka ketahuilah sesungguhnya inilah yang
mendorongkannya kepada perbuatan buruk”.
Al-Imam juga telah menegaskan: “Sesungguhnya aku telah melaksanakan kesemua
sunnah Nabi dan tidak ada sunnah yang ditinggalkan, kecuali rambut”. Akhirnya
Al-Imam mengekalkan rambut hingga ke telinganya sebagai yang dilaksanakan oleh
Rasul SAW.
Al-Imam juga sering menziarahi Nabi Allah Hud (selawat dan salam ke atasnya dan
Nabi kita) di mana makam Nabi Hud terletak di Wadi Hadramaut. Sebanyak tiga
puluh kali Al-Imam telah menziarahinya, kesemuanya pada bulan Sya’ban. Al-Imam
telah pergi berjalan kaki bersama-sama sanak saudaranya, kaya dan miskin.
Kebiasaannya Al-Imam berada di maqam itu selalunya di waktu maghrib dari 12
haribulan hingga 15 haribulan Sya’ban. Dalam perjalanan ke sana, Al-Imam sering
singgah di Ainat untuk menziarah Al-Syeikh Al-Kabir Abu Bakar bin Salim dan
Al-Syeikh Ahmad bin Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Imam juga menziarah maqam Basyar
selepas solat Asar setiap hari Jumaat dan hari Selasa. Al-Imam menjelaskan:
“Pada mulanya, kebiasaan kami menziarahi Basyar ialah pada setiap hari Jumaat,
tetapi setelah di antara sahabat kami bertemu Al-Faqih Al-Muqaddam dalam
mimpinya di mana dia berkata: katakan kepada Al-Sayyed Abdullah Al-Haddad:
“Ziarah Basyar pada hari Jumaat sahaja tidak memadai”; maka berdasarkan itu
kami menziarahi juga Basyar pada hari Selasa juga”. Sebenarnya sebelum Allah
menzahirkan kemuliaannya dan orang ramai berpusu-pusu kepadanya, memanglah
Al-Habib menziarahi Basyar setiap hari Selasa.
Semoga Allah merahmati Al-Imam dan menempatkan beliau di Syurga, dan
dihimpunkan kita bersamanya dengan berkat Saiyidina Muhammad SAW, keluarganya
dan sahabatnya serta selawat ke atas Nabi Muhammad yang mulia serta keluarga
dan sahabat Baginda.
(Kata-kata
diatas ini merupakan sedikit petikan yang diterjemahkan dari bahasa Arab dari
kajian dan tulisan Ustaz Haji Muhammad Nooruddin Merbau Al-Banjari dari Kedah.
Semoga Allah berkati beliau. InsyaAllah sambungan riwayat Al-Imam dapat
dimuatkan dalam ruangan ini.
Terjemahan ini adalah sebahagian dari juz kedua kitab “Hadiah Dari Imam
Al-Haddad